GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Satu lagi serangan buaya dilaporkan berlaku apabila seorang kanak-kanak lelaki disambar reptilia itu Kampung Nyabut, Telaga Air, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, ketika kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia tujuh tahun bersama nenek, Bibah Harup, 48, dan kakaknya sedang duduk di tebing sungai.

Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa, Mohd Adammi Moktar disambar buaya ketika sedang mengambil air.

"Sebaik disambar buaya itu, mangsa terus hilang di dasar sungai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikejarkan ke lokasi.

"PGO turut menghubungi agensi Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi mendapatkan bantuan pasukan SWAT SFC untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya.

Kejadian itu adalah yang kedua selepas seorang lelaki, Sebarang Bingkok, 56, disambar buaya di Sungai Ahong, Kampung Kangka, Lundu, Khamis lalu.

Kepala lelaki malang itu ditemui hanyut di sungai berkenaan oleh ahli keluarganya kira-kira jam 5 petang, Khamis.

Operasi masih dijalankan bagi mengesan bahagian tubuh mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 3:03 PM