Buaya yang tersesat di Kampung Spaoh, Betong malam tadi berjaya ditangkap penduduk. FOTO IHSAN JBPM
Buaya yang tersesat di Kampung Spaoh, Betong malam tadi berjaya ditangkap penduduk. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Roji Kawi

[email protected],my

Betong: Penduduk Kampung Spaoh di sini, semalam, gempar apabila melihat buaya sepanjang kira-kira 2.5 meter di perkampungan itu.

Buaya berkenaan dipercayai tersesat dan memasuki parit di kampung itu ketika air pasang besar, pada petang.

Penduduk yang bimbangkan keselamatan kemudian bertindak menangkap reptilia itu sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.45 malam.

Beliau berkata, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan itu.

"Setibanya di lokasi, didapati seekor buaya berada di dalam parit dan ia sudah berjaya diikat oleh penduduk kampung dengan bantuan anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia).

"Anggota bomba bersama penduduk kampung kemudian menarik buaya itu keluar dari parit dan memindahkannya ke kenderaan untuk dibawa balik ke BBP Betong," katanya.

Menurutnya lagi, reptilia ganas itu akan diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 10:06 AM