SAKSI yang juga Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin. FOTO Arkib NSTP
SAKSI yang juga Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menerima beribu-ribu dokumen ketika menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Pegawai penyiasat SPRM Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, 37, berkata ini menyebabkan beliau terlepas pandang untuk merujuk emel berkaitan mesyuarat firma audit KPMG Malaysia kepada bekas Perdana Menteri itu ketika siasatan.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian ketika peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mencadangkan bahawa sama ada beliau menerima apa-apa arahan daripada pegawai atasannya atau tidak ambil peduli untuk merujuk emel terbabit kepada Najib.

"Saya tidak setuju dengan kedua-dua cadangan itu. Semasa siasatan, kita dapat lebih beribu-ribu dokumen untuk siasatan kes ini, jadi berkemungkinan sama ada dokumen itu saya terlepas pandang untuk bertanya atau pegawai perakam tidak sempat untuk bertanya kepada Najib. Saya tidak ingat.

"Apa-apapun, saksi lain dalam kes ini sudah mengesahkan perkara itu. Menurut saksi lain, Najib tahu mengenai apa yang dibincang dalam mesyuarat itu.

"Najib juga diberi peluang untuk membela diri dan menjelaskan jika beliau nak tambah apa-apa ketika siasatan," katanya.

Sebelum ini, Nur Aida dalam pernyataan saksi memaklumkan bahawa satu mesyuarat telah diadakan di rumah Najib di Taman Duta bersama pihak pengurusan 1MDB dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Jho Low memulakan mesyuarat itu dengan membentangkan kandungan emel yang disediakannya.

Najib bersetuju dengan kandungan emel itu dan mengarahkan satu mesyuarat bersama KPMG diadakan dengan segera bagi menyelesaikan isu berkaitan pengauditan.

Bagaimanapun, Wan Azwan Aiman pada prosiding hari ini memaklumkan mahkamah bahawa Najib tidak pernah bersetuju dengan kandungan emel itu dan tidak mengarahkan agar satu mesyuarat diadakan bersama KPMG.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 25 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 6:31 PM