Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu meningkatkan rondaan dan pemantauan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu kembali melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, tumpuan akan diberikan kepada lokasi yang sering terdedah dengan bencana berkenaan bagi membolehkan tindakan awal dilakukan sekiranya bencana itu berlaku.

Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada lebih 30 kawasan berisiko di seluruh Terengganu termasuk kediaman yang terletak berhampiran muara, pesisir pantai dan lokasi rendah.

"Selain melakukan rondaan di kawasan yang berisiko dinaiki air, kita juga memantau daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu yang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua lokasi yang berpotensi berlaku banjir.

"Menerusi pemantauan itu, kita mengambil ukuran dan kenaikan air termasuk paras air di sungai dan kawasan yang berhampiran dengan pantai.

"Selain itu juga, kesemua aset dan keanggotaan kita juga sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlaku gelombang banjir yang seterusnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Md Hilman berkata, orang ramai yang berada di kawasan rendah dan terdedah dengan banjir juga diingatkan untuk sentiasa peka dan patuh dengan arahan pihak berkuasa terutama sekiranya diarahkan berpindah.

Katanya, kerjasama semua pihak termasuk penduduk perlu bagi mengelak insiden seperti terperangkap dan sebagainya berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 4:20 PM