Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti 37 kampung di negeri ini yang berisiko banjir sekiranya berlaku pertembungan fenomena air pasang besar dan hujan lebat sepanjang Monsun Timur Laut.

Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata, semua kampung itu terletak berhampiran muara, pesisir pantai dan lokasi rendah seperti di Kampung Losong dan Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu; Kampung Telaga Papan, Setiu; Kampung Pengkalan Atap dan Kampung Pantai, Besut; Kampung Merchang, Marang serta Kampung Kuala Kemaman dan Bukit Kuang, Kemaman.

Justeru, katanya, pegawai dan anggota digerakkan bagi memantau kawasan yang dikenal pasti berisiko itu.

"Kesemua lokasi itu berisiko dilanda banjir jika berlaku fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang akan menyebabkan berlaku limpahan air.

"Kita memang sedia maklum dengan situasi ini dan sentiasa bersiap sedia setiap masa untuk melakukan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.

"Malah, kita sudah menggerakkan anggota kita di seluruh Terengganu untuk memantau dan membuat rondaan setiap masa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Hilman berkata, pihaknya turut menasihatkan penduduk yang berada di kawasan berisiko berpindah awal selain segera ke pusat pemindahan sementara bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, saranan itu diberikan susulan masih terdapat beberapa sungai utama di negeri ini yang menunjukkan peningkatan paras air.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor yang dijangka berlaku sehingga hari ini dengan hujan sangat lebat berterusan (peringkat bahaya) dijangka berlaku di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 1:28 PM