Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: "Jangan jadi antara penyumbang statistik korban banjir di Terengganu," kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid.

Peringatan itu diberikan Md Hilman bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa berlaku sepanjang musim tengkujuh ini.

Beliau berkata, setakat ini, satu kematian direkodkan akibat lemas dalam gelombang ketiga banjir yang melanda Terengganu sejak Khamis lalu.

"Kejadian membabitkan mangsa yang juga seorang lelaki ketika dia keluar menangkap ikan berhampiran Ladang Rakyat, Mak Lagam di Kemaman pada Sabtu lalu.

"Kita sebenarnya memang mengharapkan tidak berlaku kecelakaan atau kehilangan nyawa ketika musim banjir ini tetapi pada awal tahun baharu ini, satu kes lemas berlaku.

"Kita harap kejadian sama tidak berulang dan angka ini (mangsa) tidak berubah," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan fenomena air pasang besar di Kampung Pulau Duyong di sini, malam tadi.

Md Hilman berkata, pihaknya turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar sebagai pesta air.

Katanya, pemantauan mendapati masih ada yang menghampiri kawasan pantai dan bermain air banjir terutama kanak-kanak tanpa memikirkan keselamatan mereka.

MD Hilman ketika sidang media selepas membuat pemantauan. FOTO Ghazali Kori
MD Hilman ketika sidang media selepas membuat pemantauan. FOTO Ghazali Kori

"Walaupun acap kali peringatan diberikan namun masih ada segelintir masyarakat yang menjadikan musim tengkujuh dan fenomena air pasang besar sebagai pesta air.

"Setiap tahun kita beri peringatan sama kerana tidak mahu kejadian tidak diingini termasuk kehilangan nyawa berlaku.

"Peringatan ini bukan sahaja kepada penduduk setempat tetapi pengunjung yang datang ke negeri ini selain meminta ibu bapa terutama yang tinggal di kawasan terjejas mengawasi pergerakan anak masing-masing," katanya.

Untuk rekod, sebanyak 17 kematian akibat lemas direkodkan di Terengganu sepanjang tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 12:23 PM