Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Pengambilan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Safety Water and Rescue Team (SWART) akan diperluaskan ke empat negeri berisiko dilanda banjir besar dan merekodkan kes lemas tinggi ketika musim tengkujuh.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, ia membabitkan Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, PBB SWART sebelum ini diwujudkan di Terengganu dan Kelantan, November tahun lalu bagi melakukan pemantauan di kawasan pantai sepanjang musim tengkujuh berikutan kes lemas yang tinggi direkodkan di dua negeri berkenaan.

"Ketika ini, terdapat 24 PBB SWART iaitu masing-masing 12 di Terengganu (kawasan pantai di Kuala Nerus dan Dungun) dan 12 lagi di Pantai Tok Bali , Kelantan yang bertanggungjawab membuat rondaan, pemantauan dan teguran selain membantu pihak bomba dalam bertindak lebih awal untuk menyelamatkan mangsa.

"Memang hasrat jabatan untuk memperluaskan lagi penubuhan PBB SWART ke negeri-negeri lain namun ia tertangguh kerana membabitkan implikasi kewangan dan penularan pandemik Covid-19 memandangkan pengambilan membabitkan proses temuduga dan latihan asas.

"Kita jangka tahun hadapan pengambilan akan dibuat di empat negeri terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke seluruh negara," katanya ketika ditemui di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Wakaf Tapai di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, pihaknya mengenal pasti 17 lokasi 'hot spot' membabitkan kawasan pantai, air terjun, tasik dan lombong yang berisiko berlaku kejadian kepala air dan ombak besar dan orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling ketika melakukan aktiviti riadah.

ABDUL Wahab (tiga kiri) bersama Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Abd Rashid (kiri) memeriksa peralatan keselamatan sebagai persediaan menghadapi banjir. FOTO Ghazali Kori
ABDUL Wahab (tiga kiri) bersama Pengarah JBPM Terengganu Md Hilman Abd Rashid (kiri) memeriksa peralatan keselamatan sebagai persediaan menghadapi banjir. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 11:20 AM