Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti lebih 30 lokasi berisiko dilanda banjir berikutan fenomena air pasang besar disusuli hujan lebat berterusan.

Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, kebanyakan lokasi itu adalah kawasan rendah dan terletak berhampiran pantai serta sungai.

Beliau berkata, fenomena air pasang besar bermula Sabtu lalu hingga 8 Januari depan dibimbangi mengakibatkan banjir memandangkan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

"Kami bersiap sedia daripada segi aset dan keanggotaan bagi memindahkan penduduk sekiranya berlaku banjir kilat atau air naik mendadak apabila berlakunya hujan lebat ketika fenomena air pasang besar.

"Pemantauan dan rondaan berkala dilakukan di kawasan berisiko bagi memastikan keselamatan penduduk tinggal di kawasan berhampiran pantai dan sungai.

"Rondaan secara berkala dilakukan balai terbabit untuk memastikan air tidak naik mendadak dan tindakan pemindahan boleh dilakukan segera sekiranya air semakin tinggi," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan air di sekitar daerah ini, semalam.

ANGGOTA bomba sedang melakukan tinjauan air pasang di sekitar Losong. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
ANGGOTA bomba sedang melakukan tinjauan air pasang di sekitar Losong. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Beliau berkata, seramai 400 pegawai dan anggota digerakkan bagi memantau situasi fenomena berkenaan.

Katanya, mereka dibahagikan kepada dua kumpulan yang akan membuat rondaan di kawasan terjejas.

"Pemantauan ini bukan membabitkan bomba sahaja, tetapi agensi berkaitan lain.

"Jadi dalam tempoh ini, kami meminta penduduk yang tinggal di kawasan sungai dan pantai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan semasa.

"Orang ramai diingatkan untuk tidak berkunjung ke pantai untuk menyaksikan fenomena air pasang demi keselamatan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 1:35 PM