GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noor Hidayah Tanzizi


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat bot nelayan tempatan bersama lapan warga Indonesia selepas didapati melanggar syarat lesen di kedudukan lapan batu nautika daripada Barat Laut Pulau Katak, Lumut, kelmarin.

APMM turut merampas 140 kilogram pelbagai jenis ikan dengan keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih RM 2 juta, dalam operasi itu.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, mereka ditahan antara 11.25 malam, Selasa lalu hingga 12.25 tengah malam kelmarin oleh pasukan operasi diketuai Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tiga bot nelayan kelas B dan sebuah kelas A itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menggaji kru warga asing tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Seramai lapan kru warga Indonesia berusia antara 25 hingga 41 tahun ditahan dan kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigiresen 1959/63.

"Bot bersama kru warga asing terbabit kemudian dibawa ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrizan berkata, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan dan mengukuhkan sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng laut di bawah National Task Force (NTF) dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan.

"Orang awam dan komuniti maritim perlu bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan Pati dan kesalahan lain di laut dengan menyalurkan maklumat ke talian NTF, 011-6251 1123 atau Pusat Operasi Maritim Perak, 05-6838737," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 2:26 PM