Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


KAWALAN sempadan negara dipertingkat bagi mengelak kemasukan mercun dan bunga api secara haram menjelang sambutan Aidilfitri nanti.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tugas pemantauan dan risikan dilipat gandakan supaya aktiviti penyeludupan dapat dibanteras dengan lebih berkesan.

Katanya, penyeludup akan mengambil kesempatan membawa mercun dan bunga api terutama pada Ramadan berikutan permintaan yang tinggi.

“Sekarang kami (polis) memberi tumpuan untuk mengekang penyeludupan mercun dan bunga api kerana ia popular pada Hari Raya menyebabkan permintaannya tinggi.

“Kami tidak mahu barang terlarang, termasuk mercun masuk ke negara ini,” katanya kepada ditemui ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jabatan KDNKA di Masjid Al-Amin Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

ACRYL Sani (tiga dari kiri) beramah mesra bersama pegawai KDNKA dan tetamu.  FOTO Bernama
ACRYL Sani (tiga dari kiri) beramah mesra bersama pegawai KDNKA dan tetamu. FOTO Bernama

Acryl Sani berkata, pihaknya mengesan terdapat kumpulan kecil yang membawa masuk mercun ke dalam negara untuk dijual.

“Mereka ini mungkin individu yang membuat kerja ‘part time’ (sambilan) menjual mercun pada Ramadan.

“Sekarang fokus kami adalah untuk mencari sindiket penyeludupan yang berskala besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 10:14 PM