GOPAL dan Zai Pas
GOPAL dan Zai Pas
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Pengundi di Kuala Kubu Baharu menuntut kerajaan untuk memperbanyakkan pemilikan rumah melalui kaedah secara sewa beli.

Pengundi, K Gopal, 59, berkata, ini disebabkan rata-rata penduduk di Kuala Kubu Baharu yang juga pesara kerajaan sehingga kini masih tidak memiliki dan menyewa rumah.

"Kebanyakannya tak ada rumah dan masih menyewa. Saya cadangkan agar buat kaedah secara beli dan sewa.

"Katalah anda tinggal di rumah sewa sekarang dan bayar secara bulanan RM300, jika sudah habis, barulah dapat geran rumah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain itu, dia yang juga pesara kerajaan turut meminta agar wakil rakyat yang dipilih di Kuala Kubu Baharu untuk memperbanyakkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan khususnya masyarakat India di kawasan ini.

Dakwanya, ini disebabkan pekerjaan sedia ada dimonopoli oleh warga asing seperti memotong rumput dan membersihkan longkang.

"Perbanyakkan (pekerjaan untuk) orang tempatan. Kalau ada peluang pekerjaan, orang Malaysia khususnya India boleh sahaja buat seperti potong rumput dan bersihkan longkang," katanya.

Pengundi Orang Asli, Zai Pas, 31, pula mahu kerajaan dan wakil rakyat yang bakal dipilih untuk menangani harga barang yang semakin meningkat.

"Harga barang sekarang terlampau tinggi. Kami tak larat. Contohnya semua orang asli di kawasan saya, Kampung Orang Asli Tun Razak tak boleh buat apa-apa sebab barang naik seperti ayam, harga beras dan sayur-sayuran," katanya.

Disebabkan itu, dia mencadangkan agar wakil kerajaan dan wakil rakyat yang dipilih nanti memperbanyakkan bantuan diberi seperti pemberian Bakul Rahmah bagi meringankan beban orang ramai.

Seorang lagi pengundi, Ching Sing Fah, 77, pula melahirkan kebimbangannya dengan langkah kerajaan yang mahu melaksanakan pengurangan subsidi petrol pada tahun ini.

Dia turut meminta agar kerajaan menangguhkan hasrat untuk melaksanakan pengurangan subsidi itu.

"Bila mengurangkan subsidi itu, mesti harga petrol naik. Kita ini miskin, susahlah. Kerajaan perlu ambil tindakan (untuk tangguhkan dahulu hasrat)," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Dalam pertandingan kali ini, calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao bakal ditentang oleh Khairul Azhari Saut (PN) serta dua lagi calon iaitu Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 6:13 PM