PATI warga Indonesia yang cuba membolosi sempadan diusir pulang ke negara asal. FOTO Ihsan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Briged)
PATI warga Indonesia yang cuba membolosi sempadan diusir pulang ke negara asal. FOTO Ihsan Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Briged)
Abdul Rahemang Taiming


Kalabakan: Cubaan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) menyusup masuk menggunakan laluan tikus di kawasan sempadan, dekat sini, tidak kesampaian apabila ditahan pasukan keselamatan, semalam.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Briged) dalam kenyataan berkata, anggota yang menjalankan tugasan rondaan Ops Benteng berjaya mengesan kelibat kumpulan Pati berkenaan berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di sempadan Malaysia.

"Mereka terdiri daripada dua lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan masing-masing berumur antara lima hingga 32 tahun disyaki cuba memasuki negara ini secara haram.

"Siasatan lanjut mendapati mereka dipercayai cuba memasuki negara ini untuk mencari peluang pekerjaan dalam sektor perladangan dan dipercayai dibantu seorang daripada mereka yang mempunyai pengalaman masuk kali kedua sebelum ini," katanya.

Menurutnya, mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah dan diusir pulang ke negara asal kira-kira jam 7 malam pada hari sama.

Sementara itu, Panglima 5 Briged, Brigadier Jeneral Zambery Jefry Darus memberi amaran kepada penduduk tempatan yang bekerja di ladang supaya tidak menjadi tali barut atau broker membawa masuk Pati ke negara ini.

Beliau menegaskan, sempadan Sabah sentiasa dikawal ketat dan diperkemas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disamping kolaborasi Ops Benteng yang diterajui oleh National Task Force (NTF).

"Selain membuat tangkapan dan mencegah aktiviti rentas sempadan, 5 Briged juga akan memastikan Pati diusir keluar bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 tanpa kompromi," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 12:17 PM