Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan merekodkan seramai 25,353 orang, setakat 8 pagi ini.

Kesemua mereka membabitkan 6,897 keluarga itu ditempatkan di 133 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah.

Berdasarkan Laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan, Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 5,322 orang yang ditempatkan di 22 PPS.

Pasir Puteh pula merekodkan 4,379 mangsa membabitkan 1,133 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS, Tumpat 4,202 mangsa di 13 PPS.

Kota Bharu merekodkan 4,084 mangsa diikuti Kuala Krai (3,229 mangsa); Tanah Merah (1,387 mangsa); Machang (1,173 mangsa); Bachok (1,158) dan Jeli membabitkan 420 mangsa.

Sementara itu, laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan, enam sungai utama Kelantan masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 10.8 meter (m) sehingga pagi ini.

Selain itu, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah juga melepasi paras bahaya dengan bacaan 23.99 m , diikuti Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat (3.11 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.3 m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (41.50 m) dan Sungai Nal di Kuala Krai (29.24 m).

Sementara itu, dua sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Semerak di Bachok (8.93 m) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (4.17 m).

Empat sungai lagi melepasi paras berjaga-jaga, Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (36.31 m), Sungai Pergau di Kuala Balah, Jeli (51.72 m), Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu (3.99 m) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (2.64 m).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 9:42 AM