Keadaan banjir di Rantau Panjang. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Keadaan banjir di Rantau Panjang. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 1,569 orang setakat 3 petang ini berbanding 881 mangsa pada 8 pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka membabitkan 489 lelaki dewasa, 527 wanita dewasa, 257 kanak-kanak lelaki, 264 kanak-kanak perempuan dan 32 bayi.

Susulan peningkatan mangsa, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka menjadikan 29 PPS sudah dibuka sehingga kini.

Kesemua mangsa daripada 464 keluarga berada di PPS empat daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.

Mangsa di Jeli mencatatkan jumlah seramai 506 orang yang ditempatkan di tujuh PPS, diikuti Kuala Krai (438 orang) di sembilan PPS, Pasir Mas (357 orang) di lima PPS dan Tanah Merah (268 orang) di lapan PPS.

Sementara itu, menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, enam sungai utama di Kelantan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 35.45 meter (m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.11 m), Sungai Lanas di Air Lanas Jeli (29.75 m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.11 m), Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (22.03 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.41 m).

Selain itu, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah melebihi paras amaran dengan bacaan 15.96 m.

Tiga sungai melebihi paras waspada ialah Sungai Lebir di Kampung Karangan, Kuala Krai (31.60 m), Sungai Nal di Kuala Krai (23.87 m) dan Sungai Pergau di Jeli (71.41 m).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 3:57 PM