KEADAAN banjir di Kampung Cabang Tiga, Rantau Panjang, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
KEADAAN banjir di Kampung Cabang Tiga, Rantau Panjang, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Banjir Kelantan makin buruk apabila jumlah mangsa bertambah kepada 2,044 mangsa pada 4 petang ini berbanding 881 orang, pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa membabitkan 662 lelaki dewasa, 685 wanita dewasa, 323 kanak-kanak lelaki, 333 kanak-kanak perempuan dan 41 bayi.

Semua mangsa daripada 622 keluarga itu ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.

Mangsa di Pasir Mas bertambah dengan mendadak selepas beberapa kampung berdekatan Sungai Golok dinaiki air menyebabkan 904 penduduk berpindah ke tujuh PPS.

Diikuti, mangsa di Jeli seramai 422 orang di lima PPS, Kuala Krai yang mencatatkan seramai 409 orang yang berada di sembilan PPS dan Tanah Merah (307 orang) di sembilan PPS.

Sementara itu, mengikut portal eBanjir Kelantan, sebanyak tiga jalan ditutup di Tanah Merah iaitu Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang, jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah yang ditutup kepada semua kenderaan dan Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh yang ditutup kepada kenderaan ringan.

Menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, enam sungai utama di Kelantan melebihi paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai dengan bacaan 35.45 meter (m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.11 m), Sungai Lanas di Air Lanas Jeli (29.75 m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.11 m), Sungai Kelantan di Kampung Temangan, Machang (22.03 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.41 m).

Selain itu, sungai yang melebihi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dengan bacaan 15.96 m.

Tiga sungai melebihi paras waspada, Sungai Lebir di Kampung Karangan, Kuala Krai (31.60 m), Sungai Nal di Kuala Krai (23.87 m) dan Sungai Pergau di Jeli (71.41 m).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 4:47 PM