Anwar Ibrahim pada Sidang Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Parlimen Penggal Pertama Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Anwar Ibrahim pada Sidang Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Parlimen Penggal Pertama Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dilakukan bagi membolehkan kerajaan memperkukuhkan keyakinan pelabur, komuniti perniagaan dan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hasil sokongan itu akan menyuntik keazaman Kerajaan Perpaduan supaya terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Kerajaan Perpaduan komited menggalas amanah rakyat dan sedang giat melaksanakan segala gerak kerja termasuk menyusun strategi baharu bagi mempersiapkan negara menghadapi cabaran politik, ekonomi, sosial, perubahan persekitaran dan sebagainya.

"Menyedari prospek ekonomi dunia tahun hadapan dijangka mengalami kemelesetan, adalah penting Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

"Ini sekali gus akan memperkukuhkan lagi keyakinan pelabur, komuniti perniagaan serta rakyat," katanya ketika membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kepimpinan Perdana Menteri ke-10 dan Kerajaan Perpaduan perlu disokong demi kejayaan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan Perpaduan berikrar dengan iltizam yang jitu untuk terus menstabilkan iklim politik, memakmurkan ekonomi, menyatu padukan semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta mengangkat martabat Malaysia di mata dunia.

"Dewan (Rakyat) ini perlu mengambil ketetapan dan berikrar memberi sokongan sepenuhnya pelantikan dan kepimpinan Yang Amat Berhormat Ahli Parlimen Tambun selaku Perdana Menteri ke-10 bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya," katanya.

Katanya, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyelesaikan kemelut pembentukan kerajaan hingga terbentuknya Kerajaan Perpaduan adalah cerminan pandangan jauh serta keprihatinan Baginda demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

"Bahawasanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Ke-10 menjunjung kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas cetusan idea penubuhan Kerajaan Perpaduan.

"Ini berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menatijahkan situasi Parlimen tergantung di mana tiada parti politik atau gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah. Situasi itu tidak pernah berlaku sepanjang sejarah negara ini," katanya.

Ketika ini, Persidangan Dewan Rakyat menyaksikan seramai 12 Ahli Parlimen mengambil bahagian bagi membahaskan usul undi percaya Perdana Menteri.

Perbahasan itu dimulakan dengan Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta diikuti Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:53 PM