HAMZAH pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HAMZAH pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Yang Amat Berhormat Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri," kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ahli Parlimen Larut itu antara Ahli Parlimen yang mempertikaikan usul undi percaya terhadap Anwar yang juga Perdana Menteri ke-10 dalam Dewan Rakyat, petang ini.

Beliau turut menyifatkan usul berkenaan sebagai gimik semata-mata selepas Anwar meraih sokongan majoriti pemimpin lima parti gabungan Kerajaan Perpaduan yang memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU), 16 Disember lalu.

"Apakah usul ini mempersoalkan kuasa dan keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong atau kerana kerajaan dibentuk ini adalah kerajaan minoriti walaupun seperti kenyataan Yang Amat Berhormat Tambun bahawa Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah pun dalam pusingan pertama memperoleh sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Perjanjian itu adalah satu perjanjian yang menyekat, merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen kesan kumulatif peruntukan daripada perjanjian terbabit menyebabkan semua Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) untuk mengundi hanya dengan cara yang dikehendaki YB (Yang Berhormat) Tambun (Anwar).

"Ini bercanggah dengan prinsip asas berparlimen yang dijamin Perlembagaan dan undang-undang Malaysia. Ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar awam, tidak sah serta tidak dibenarkan undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) turut mencadangkan supaya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri ditangguhkan selama 21 hari.

Katanya, penangguhan itu berikutan status empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyokong kerajaan dipertikaikan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti berkuasa 5 Oktober lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim yang agresif menentang pembentangan usul undi percaya itu sejak dari mula sesi persidangan sebelah petang, meminta usul itu ditarik balik supaya tidak menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyelesaikan kemelut pembentukan kerajaan sehingga terlantiknya Anwar sebagai Perdana Menteri, 24 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 6:28 PM