DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO Nadim Bokhari.
DATUK Seri Fadillah Yusof. FOTO Nadim Bokhari.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak akan membawa negara kepada pemerintahan diktator.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, turut menyangkal dakwaan bahawa MoU itu adalah haram dan tidak berperlembagaan.

Ini kerana menurutnya, mana-mana pihak di luar Kerajaan Perpaduan yang tidak berpuas hati dengan MoU itu boleh membawanya ke mahkamah, sekali gus menunjukkan ia bukanlah diwujudkan dengan cara diktator.

"Soal sama ada ia (MoU) itu dapat dikuatkuasakan atau tidak, bergantung kepada siapa yang tidak berpuas hati yang akan membawanya ke mahkamah.

"Yang akan mentafsir adalah mahkamah dan sama ada ia mengikut undang-undang atau tidak, kita (Kerajaan Perpaduan) serahkan kepada mahkamah (untuk menentukan)," katanya pada sidang media mengenai kes tujuh rakyat Sarawak yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Dubai, di sini, hari ini.

Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan di Dewan Rakyat berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendakwa MoU yang memaksa Ahli Parlimen undi usul kepercayaan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai haram, tidak berperlembagaan, akan membawa kepada pemerintahan diktator serta tidak boleh dikuatkuasakan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, MoU itu dipersetujui oleh semua parti yang membentuk kerajaan perpaduan kerana ia menjadi asas untuk mewujudkan kestabilan politik negara.

"Kita perlu menerima kenyataan bahawa tidak ada satu parti pun mampu menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sehingga mendorong Yang Dipertuan Agong mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan yang ditawarkan kepada semua pihak termasuk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi beliau menolak.

"MoU itu kita meterai kerana kita tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang iaitu pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal disebabkan undi tidak percaya," katanya.

Justeru katanya, matlamat utama Kerajaan Perpaduan adalah mewujudkan kestabilan politik dan MoU yang meterai adalah bagi memastikan tidak ada lagi undi tidak percaya yang hanya akan mencetuskan ketidaktentuan politik.

"Sebab itu, saya sendiri akan bentangkan usul undi percaya (kepada Perdana Menteri) di Dewan Rakyat Isnin ini kerana kita mahu mewujudkan kestabilan politik bagi membolehkan kita memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan mengukuhkan keyakinan pelabur, membentuk kesaksamaan antara wilayah dari segi pembangunan dan mensejahterakan rakyat," katanya.

Menurutnya, tiada had masa untuk MoU itu, namun beliau berharap ia bertahan hingga tamat tempoh Parlimen selepas PRU-15.

"MoU itu dimeterai agar kita kukuh bagi menghadapi cabaran ekonomi tidak menentu yang bakal dihadapi tahun depan dan kita amat berharap dengan kestabilan politik, negara kembali makmur.

"Kalau kita masih bertelagah dengan politik, kita bimbang negara akan terus merudum dan menjadi mangsa ialah kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 9:20 PM