Dewan Rakyat. FOTO ARKIB NSTP
Dewan Rakyat. FOTO ARKIB NSTP
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Ahli Parlimen seharusnya bebas memilih untuk melakukan undi percaya atau sebaliknya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Dewan Rakyat, 19 Disember ini.

Aktivis masyarakat, Michael Tay Chee Boon berkata, ia tidak seharusnya dipengaruhi sebarang arahan khusus daripada pucuk pimpinan tertinggi sesebuah parti politik kepada ahli parlimen mereka.

Beliau berkata, dia yakin setiap ahli Parlimen mampu berfikir secara rasional ketika membuat keputusan bersandarkan masa depan negara sebaliknya tidak dipengaruhi faktor kepentingan parti diwakili.

Menurutnya, mereka seharusnya lebih rasional bagi memilih supaya negara diterajui kepimpinan yang berkualiti.

"Ada yang menyatakan usul undi percaya adalah perkara tidak penting namun ia sebenarnya menunjukkan amalan demokrasi masih wujud di negara ini.

"Sekiranya usul berkenaan dibatalkan maka kita juga tidak adil kepada sistem demokrasi sekali gus membuka ruang kepada pelbagai pertikaian dan pergolakan pada masa depan.

"Saya rasa beberapa Perdana Menteri (sebelum ini) tidak akan melakukannya, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu dan ia sesuatu perkara baik.

"Saya yakin mana-mana pemimpin seharusnya berdepan risiko bertujuan membolehkan mereka memimpin negara dengan mandat yang jelas dan berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

"Malah usul ini penting bagi merungkai sebarang kesangsian berkaitan keabsahan Anwar sebagai peneraju kerajaan baharu pimpinannya," katanya.

Michael berkata, sama ada usul itu mungkin menjadi langkah berisiko buat Anwar atau sebaliknya, usul undi percaya tetap perlu dilakukan sebagai penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ia penting kerana mampu memperkukuh kestabilan kerajaan perpaduan, yang merangkumi PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu, Anwar dilaporkan berkata, pembentangan usul undi percaya, adalah antara agenda sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

Usul percaya itu bagi membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadap Anwar, sekali gus memperkukuh kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Ia susulan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Anwar membuktikan bahawa Pengerusi PH berkenaan mempunyai sokongan majoriti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 11:37 PM