PELAJAR dibantu pensyarah mengikuti program KIBA menyediakan masakan kacang foul, sejenis masakan tradisional Arab.  FOTO MOHD RAFI MAMAT
PELAJAR dibantu pensyarah mengikuti program KIBA menyediakan masakan kacang foul, sejenis masakan tradisional Arab. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Saya perlu belajar dan mahir menyediakan beberapa jenis makanan terkenal Arab seperti kacang foul, salatah Arabiyyah dan shakshokah sebelum menyambung pengajian di Universiti Yarmouk (Jordan) selama empat tahun dalam bidang Fiqh Wal Usul pada Februari tahun depan.

"Selain belajar memasak, saya juga perlu mahir menggunakan bahasa Arab pasar yang menjadi komunikasi perantara sepanjang berada di negara Asia Barat itu terutama ketika berada di bilik kuliah," kata Ahmad Faiz Jamli, 18.

Dia antara 140 pelajar tajaan Mara, Yayasan Pahang, Yayasan Negeri dan Majlis Agama Negeri yang mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) selama enam bulan di Pusat Bahasa Arab Albayt Al Arabiyy University College of Yayasan Pahang (UCYP).

Program itu sebagai persiapan penuntut sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk, Jordan.

Ahmad Faiz berkata, ini kali pertama dia berpeluang mempelajari cara menyediakan masakan Arab yang banyak menggunakan salad Arab selain buah dan minyak zaitun, lemon, kacang dalam tin, cili besar, timun, keju Arab serta telur.

Katanya, kebanyakan masakan Arab rasanya sedikit masam dan pahit serta mudah disediakan, ada juga dimakan mentah dan sekiranya dimasak ia tidak mengambil masa lama untuk disediakan.

"Program belajar menyediakan masakan Arab perlu diikuti pelajar yang mengikuti program KIBA, ia pengalaman pertama sebelum melangkah ke Jordan.

"Bagi aktiviti menyediakan masakan Arab kami mendapat tunjuk ajar daripada empat pensyarah yang berasal dari Arab, mereka mempunyai cita rasa sebenar masakan Asia Barat," katanya yang berasal dari Selangor.

Ahmad Faiz yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Persekutuan Labu, Negeri Sembilan berkata, kemahiran menyediakan masakan Arab digunakan sepanjang berada di Jordan.

Bagi Muhammad Adam Fikri Mohd Azmi, 18, walaupun tidak berminat dalam bidang masakan, namun demi cita-cita melanjutkan pengajian ke Universiti Yarmouk dia berkorban menimba ilmu dalam bidang masakan Arab.

Katanya, menyediakan masakan Arab tidak terlalu susah berbanding masakan Melayu kerana lebih ringkas tetapi mengenyangkan.

"Sebagai contoh kacang foul yang dimasak bersama cili besar dimakan dengan roti, buah zaitun segar dijadikan pencuci mulut. Telur digoreng dengan cili besar dan rempah dipanggil shakshokah turut menjadi hidangan mereka.

"Walaupun selera kita tidak sama dengan orang Arab, saya belajar menerimanya bagi melalui kehidupan baru kelak," katanya yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kerian, Perak.

Kata anak kedua daripada lima beradik itu, kebanyakan masakan Arab menggunakan minyak zaitun yang mempunyai banyak khasiat.

Muhammad Adam Fikri berkata, pelajar turut didedahkan budaya rakyat negara berkenaan termasuk suasana di universiti dan cara bergaul dengan penduduk setempat.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Seksyen 18, Shah Alam Selangor, Hanis Nadhirah Mohd Rashidi, 18, berkata, walaupun boleh menerima makanan seperti kacang foul, salatah Arabiyyah dan shakshokah, namun nasi tetap menjadi hidangan utama penuntut Malaysia.

"Saya difahamkan kebanyakan pelajar di Asia Barat memasak secara berkumpulan di asrama, di Jordan juga ada kedai menyediakan hidangan nasi.

"Aktiviti memasak antara subjek diajar ketika mengikuti KIBA sepanjang enam bulan," katanya yang menyambung pengajian dalam bidang Fiqh Wal Usul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 8:01 AM