RESTORAN Nasi Arab Abu Aish mengambil pendekatan meletakkan hidangan dalam dulang besar bagi mengukuhkan ukhuwah  dalam kalangan ahli keluarga.
RESTORAN Nasi Arab Abu Aish mengambil pendekatan meletakkan hidangan dalam dulang besar bagi mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli keluarga.
TORTILLA atau roti ‘ish kambing kabsah.
TORTILLA atau roti ‘ish kambing kabsah.
NASI  arab mandy dimakan bersama ayam panggang apollo.
NASI arab mandy dimakan bersama ayam panggang apollo.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Sajian nasi arab mandy yang dinikmati bersama kombinasi ayam panggang apollo (dimasak menggunakan dapur berbentuk apollo) dan kambing kabsah pasti membuka selera sesiapa saja walaupun baru pertama kali ‘bersua’ hidangan dari Timur Tengah itu.

Ternyata menu yang diubah suai dengan cita rasa dan selera tempatan menjadi penyebab sepinggan nasi yang dimakan bersama potongan cili muda, bawang, salad dan salsa tomato dengan sup kosong berjaya dihadamkan sepenuhnya.

Menurut pengusaha Restoran Nasi Arab Abu Aish, Mardiah Shaharum, 27, nasi mandy yang juga sajian tunggal restoran berkenaan enak dimakan bersama ayam panggang apollo, ayam panggang pedas, ayam panggang BBQ, kambing kabsah atau kambing panggang.

Katanya, untuk hidangan individu dijual pada harga antara RM8 dan RM18 setiap set.

Bagi hidangan keluarga dan berkumpulan pula, nasi arab mandy dengan ayam panggang biasa, ayam panggang BBQ atau ayam pedas ditawarkan antara RM47 dan RM90 setiap set sementara nasi arab mandy sama ada kambing kabsah, kambing panggang atau campuran ayam dan kambing antara RM65 serta RM140 setiap set.

Pelanggan juga boleh menikmati hidangan sampingan tortilla atau roti ‘ish dengan pilihan ayam panggang atau kambing kabsah pada RM5 dan RM9 setiap set.

Pelbagai jenis pilihan minuman panas dan sejuk termasuk air buah-buahan seperti buah delima, mangga, karot, oren, tembikai serta paling digemari adalah air tamar koko dengan hiasan aiskrim vanila dijual pada antara RM1 dan RM4 segelas. Sementara minuman berkumpulan pula antara RM6 dan RM16 untuk setiap jag.

Antara 90 hingga 100 ekor ayam diperuntukkan bagi memenuhi permintaan pelanggan setiap minggu dan bertambah ketika musim cuti persekolahan.

“Sebanyak 30 ekor ayam diperap pada satu-satu masa menggunakan campuran bahan seperti halia, serai, lengkuas, bawang putih, bawang merah dan rempah ratus yang disediakan sendiri.

“Ayam dipanggang dalam dapur berbentuk apollo seakan-akan kapal angkasa apollo dalam tempoh dua jam untuk memastikan dagingnya lembut dan masak sekata,” katanya ketika ditemui direstorannya di Tanah Putih, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Menurut Mardiah, semua rempah masakan disediakan bapa mentua, Dolahsajat Kamari, 54, yang berpengalaman luas dalam bidang itu.

“Bapa mentua akan menyediakan rempah masakan dan kami hanya perlu mengambil sukatan tepat menggunakan senduk tertentu sebagai ukuran,” katanya yang juga bekas pensyarah Kolej Yayasan Pahang (KYP) itu.

Beliau memperuntukkan enam hingga lapan kilogram beras basmathi setiap hari yang dimasak menggunakan kuah kambing kabsah untuk menimbulkan aroma yang pastinya membangkitkan selera.

“Saya juga menggunakan arang yang siap dibakar dan diletakkan dalam mangkuk di permukaan periuk selepas nasi masak sepenuhnya bagi menimbulkan aroma yang ‘lain macam’ dan bagi menambahkan lagi keenakannya,” katanya yang sudah dua tahun menjalankan perniagaan itu.

Mardhiah yang dibantu suami, Mohd Saifulbahriy, 28, berkata idea membuka restoran nasi arab itu bermula selepas tamat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah, Ekonomi dan Perbankan Islam, di Universiti Yarmouk, Jordan manakala suaminya lulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Restoran yang dibuka setiap hari bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam itu turut menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, pertunangan, akikah, jamuan tahunan dan mesyuarat selain menyediakan perkhidmatan katering dengan pelbagai jenis menu seperti nasi minyak, nasi tomato, nasi beriani dan nasi tomato.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 11:02 AM