Novel ini ditulis dengan garapan cukup segar dan mendapat tempat di hati remaja kerana berlatar belakang kisah pelajar di Jordan. Sesegar Nailofar mengisahkan kehidupan seorang penuntut di Universiti Yarmouk bernama Iqbal. Seorang jejaka yang berjiwa bebas, tetapi tetap berpegang teguh terhadap iman dan cintanya terhadap agama dan prinsip yang dijaga rapi sudah menjadi tiang hidupnya selama ini.

Namun begitu, sifatnya yang mungkin egoistik sehingga kekasihnya, Salsabila yang sudah lama tidak dihubungi di Malaysia sudah disunting menjadi milik orang lain. Iqbal tidak melatah, malah bijak dalam menangani perkara itu kerana dia percaya hubungan cinta yang mencari reda Allah adalah yang terbaik.

Rentetan krisis kehilangan Nora, seorang siswi di universiti yang sama mengajak pembaca mengetahui kisahnya di setiap bab menjadi salah satu tarikan juga kerana sejurus selepas penemuannya, muncul pula insan yang bernama Nailofar yang mula mendapat tempat di hati Iqbal.

Nailofar, watak yang diselitkan dan dirahsiakan di sebalik kiriman e-mel juga membawa pembaca untuk menyingkap mengenai siapa gerangan pengirim e-mel berkenaan.

INFO

- Judul: Sesegar Nailofar

- Penulis: Zaid Akhtar

- Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd

- Harga: RM18 (Semenanjung), RM20 (Sabah/Sarawak)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 2:33 PM