KELIBAT anjing liar di beberapa kawasan perumahan di sekitar Senawang yang menimbulkan rasa tidak selesa penduduk. FOTO Ahmad Hasbi
KELIBAT anjing liar di beberapa kawasan perumahan di sekitar Senawang yang menimbulkan rasa tidak selesa penduduk. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi

Seremban: Sembilan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar Senawang di sini, mendakwa kawasan perumahan di bawah seliaan mereka menghadapi masalah anjing liar dan situasi makin buruk selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Semua wakil KRT berkenaan menyuarakan isu sama iaitu kehadiran anjing yang semakin banyak selain turut mengganggu ketenteraman dengan mengejar penduduk yang keluar pada awal waktu pagi atau senja.

Meskipun belum ada kejadian penduduk digigit haiwan jalanan itu, wakil KRT khuatir ia bakal berlaku dan lebih teruk jika menimpa kanak-kanak atau warga emas.

Pengerusi KRT Rumah Pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Senawang, Zainal Mohd Nor, 53 berkata, pihaknya sudah berputus asa untuk membuat aduan kepada pihak berwajib.

"Maklum balas yang saya terima, mereka beritahu sudah datang membuat pemantauan, namun tiada kelibat anjing.

"Kalau datang waktu siang anjing ini memang susah untuk muncul, cuba datang waktu malam dari jam 7.30 malam sehingga menjelang Subuh, memang banyak berkeliaran," katanya di sini.

Menurutnya, insiden penduduk dan anak-anak dikejar anjing menjadi perkara biasa di kawasan perumahan itu.

"Bagaimanapun, kami bersyukur kerana tidak pernah lagi berlaku kejadian tidak diingini melainkan kucing diserang anjing sehingga mati. Kalau ikut pengamatan saya, ada 15 anjing yang berkeliaran di sini.

"Saya sudah penat membuat aduan, apabila tiada tindakan daripada pihak berkuasa ia seolah-olah menunjukkan KRT tidak mengambil tindakan sedangkan kami sudah melakukan yang sepatutnya.

"Orang awam tidak boleh mengambil tindakan sendiri terhadap anjing ini kerana mungkin boleh diambil tindakan undang-undang, " katanya.

SEMBILAN jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar Senawang  mengadu kawasan perumahan di bawah seliaan mereka menghadapi masalah anjing liar. FOTO Ahmad Hasbi
SEMBILAN jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar Senawang mengadu kawasan perumahan di bawah seliaan mereka menghadapi masalah anjing liar. FOTO Ahmad Hasbi

Pengerusi KRT Fasa 3B Bandar Seremban Selatan, Osman Hassan, 65, pula berkata, anjing liar menjadikan lot kedai kosong dan projek perumahan baharu di kawasan berhampiran sebagai port berkumpul.

"Di kawasan taman saya ada lebih 20 ekor dan saya sudah buat tiga aduan sejak PKP, terkini selepas saya dapat aduan kanak-kanak berbasikal pada waktu petang dikejar anjing.

"Kami tak mahu ambil tindakan 'bukan-bukan' terhadap haiwan itu. Tapi, saya betul-betul dah buntu," katanya.

Berdepan masalah sama ialah di kawasan Taman Jasmin Indah apabila haiwan terbabit mengejar penduduk yang berjalan ke tempat kerja dan pelajar ke sekolah pada awal pagi.

Pengerusi KRTnya, Mohd Jahidi Rosdi, 52, berkata, isu anjing boleh disifatkan kritikal di kawasan Senawang dan kini mengganggu keselesaan dan ketenteraman penduduk.

"Setakat ini tiada lagi kes penduduk cedera dikejar atau digigit anjing. Mahu tunggu ada kes baharu nak ambil tindakan serius. Jangan sehingga orang perlekeh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Selain itu, Pengerusi KRT Taman Marida 1, Mohd Rafi Ismail, 42, berkata, dia dan anaknya pernah menjadi mangsa dikejar anjing.

Katanya, tahun lalu seorang penduduk terjatuh motosikal akibat dikejar anjing selepas selesai menunaikan solat Subuh di masjid.

"Isu anjing ini sudah mula jadi ancaman keselamatan kepada penduduk. Saya bukan tidak membuat aduan, tetapi tiada tindakan lanjut.

"Maklum balas diterima secara dalam talian tindakan dah diambil, namun saya dapati anjing ini masih ada di kawasan perumahan kami. Saya berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Ikuti penjelasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) berhubung isu ini dalam Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 7:15 AM