Sebahagian kumpulan monyet liar yang melakukan kacau ganggu keatas penduduk di Taman Impian, Jalan Paloh  Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
Sebahagian kumpulan monyet liar yang melakukan kacau ganggu keatas penduduk di Taman Impian, Jalan Paloh Kluang. FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


Kluang: "Banyak bumbung rumah penduduk di taman ini dirosakkan monyet yang cuba membukanya untuk mencari jalan masuk (ke rumah).

"Rangkaian siaran televisyen berbayar juga sering terganggu kerana piringnya (piring satelit) diganggu haiwan itu," kata Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Impian, Salim Pawi.

Salim antara 700 penduduk Taman Impian, Jalan Paloh, dekat sini, yang melahirkan kebimbangan berikutan kawasan taman perumahan itu kerap 'dikunjungi' tidak kurang 40 monyet liar setiap hari.

Difahamkan, gangguan kumpulan monyet bermula seawal 7 hingga 9 pagi, kemudian kembali lagi sebelah petang dari 4.30 petang hingga 7 malam.

Salim berkata, kejadian yang berlaku sejak enam tahun lalu itu bagaikan tiada kesudahan walaupun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor sudah beberapa kali 'menghalau' haiwan berkenaan.

"Apa yang membimbangkan, monyet berkenaan bukan sahaja menyelongkar tong sampah di hadapan rumah penduduk, ada yang masuk hingga ke dalam rumah sekiranya pintu atau tingkap terbuka.

"Malah jika disergah atau dihalau, ia akan menyerang balik sehingga pernah berlaku seorang suri rumah menangis ketakutan akibat dikejar haiwan itu," katanya kepada NSTP, hari ini.

Salim memaklumkan, Perhilitan sudah mengambil tindakan, namun kumpulan monyet berkenaan hanya lari sekejap sebelum datang semula selepas operasi menghalau dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, kumpulan monyet itu dipercayai datang dari ladang kelapa sawit yang tidak diusahakan berhampiran dengan taman berkenaan.

Katanya, aduan terakhir gangguan monyet ini diterima oleh pihaknya pada 18 Ogos lalu dan tindakan tembak mati dijalankan, selain pemantauan berterusan masih dilakukan.

"Terdapat perangkap besar monyet dipasang berhampiran taman berkenaan dan sepanjang tahun ini, 106 monyet sudah ditangkap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 3:19 PM