Mohd Khidir Zakaria

Seremban: Pelbagai spesies ikan termasuk talapia didapati mati dan terapung di kolam rekreasi di kawasan perumahan di Taman Bandar Senawang di sini, sejak Selasa lalu.

Ahli jawatankuasa Kampung Rukun Tetangga (KRT) D'Palma D'Elise Norazizi A Aziz berkata, kejadian itu disedari penduduk yang berjoging di situ dan pekerja pembersihan selepas terhidu bau busuk.

"Kami ingatkan tidak serius tetapi selepas hari ke hari kita tengok makin banyak ikan mati sehingga menyebabkan bau busuk di kawasan sekitarnya.

"Tak tahulah apa puncanya dan penduduk sudah buat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut," katanya.

NORAZIZI A Aziz (kiri) dan Norhazman Abd Hadi (kanan) ketika meninjau kolam rekreasi Taman Bandar Senawang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
NORAZIZI A Aziz (kiri) dan Norhazman Abd Hadi (kanan) ketika meninjau kolam rekreasi Taman Bandar Senawang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Sementara itu, wakil pemaju, Norhazman Abd Hadi berkata, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku dan pihaknya sudah membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, kolam berkenaan di bawah pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) namun penyelenggaraannya di bawah tanggungjawab pemaju.

"Kita pun tak tahu punca ikan ini mati. Kalau ikutkan air yang mengalir ke kolam ini daripada kawasan perumahan dan tiada dari kilang.

"Saya cuma bimbang ikan ini mati disebabkan ada orang tuba. Pihak JPS dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sudah mengambil sampel air kolam ini untuk siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 3:31 PM