Amir Abd Hamid


Ampang: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menggerakkan program Dasar Komuniti Negara bagi memastikan kualiti hidup masyarakat dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kerjasama strategik itu dijangka ditandatangani pada minggu depan.

"Kerjasama antara KPKT dan KPN sudah diwujudkan kerana di bawah KPKT, ada Dasar Komuniti Negara yang kita boleh laksanakan secara bersama. Banyak lagi agenda lain bersifat komuniti di bawah KPKT dapat kita gerakkan bersama.

"Menerusi kerjasama ini, mungkin kita akan susun semula struktur Bomba Komuniti dan jenamakan semula sebagai Bomba Uniti... ini contohnya," katanya dalam sidang media selepas program Jelajah Malaysia Prihatin bersama Persatuan Penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Ampang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, Dasar Komuniti Negara bertujuan mewujudkan komuniti dengan anggota masyarakat berdaya saing serta memiliki perasaan kebersatuan bagi membolehkan komuniti hidup dalam keadaan harmoni, sejahtera dan cemerlang.

Katanya, pihaknya dalam usaha menubuhkan lebih banyak KRT yang berfungsi melindungi keselamatan komuniti selain menjadi pemimpin akar umbi bagi menyalurkan maklumat dan dasar kerajaan kepada masyarakat.

"Baru-baru ini, kita ada buat pindaan iaitu satu KRT mewakili 1,000 penduduk sahaja berbanding 1,500 penduduk sebelum ini. Setiap KRT juga mesti ada Skim Rondaan Sukarela (SRS).

"Selain itu, kita mahu 30 peratus dalam kalangan ahli jawatankuasa KRT terdiri daripada wanita dan 30 peratus daripada ahli jawatankuasa berusia 18 hingga 35 tahun. Ini antara usaha pemerkasaan KRT supaya rakyat lebih ramai berminat untuk menganggotainya," katanya.

Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama Halimah (kiri) hadir di majlis ramah mesra bersama Persatuan-Persatuan penduduk dan kawasan Rukun Tetangga Parlimen Ampang. FOTO FATHIL ASRI
Zuraida Kamaruddin (tengah) bersama Halimah (kiri) hadir di majlis ramah mesra bersama Persatuan-Persatuan penduduk dan kawasan Rukun Tetangga Parlimen Ampang. FOTO FATHIL ASRI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 5:24 PM