KELIBAT anjing liar di beberapa kawasan perumahan di sekitar Senawang yang menimbulkan rasa tidak selesa penduduk. FOTO AHMAD HASBI
KELIBAT anjing liar di beberapa kawasan perumahan di sekitar Senawang yang menimbulkan rasa tidak selesa penduduk. FOTO AHMAD HASBI
Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sudah mengeluarkan kos sebanyak RM350,000 untuk operasi menangkap anjing liar termasuk kos memandulkan haiwan terbabit sepanjang tahun lalu.

Datuk Bandarnya, Datuk Masri Razali berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 3,500 anjing liar ditangkap dan kini ditempatkan di sebuah tempat perlindungan anjing liar di Rantau, di sini.

"Operasi menangkap anjing dilakukan kontraktor yang dilantik dan tempat perlindungan pula dikendalikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Bukan jumlah yang sedikit kos MBS keluarkan untuk mengendalikan isu anjing liar ini dan sehingga kini kami masih cuba mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan sembilan jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar Senawang di sini mendakwa kawasan perumahan di bawah seliaan mereka menghadapi masalah anjing liar dan situasi makin buruk selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Semua wakil KRT berkenaan menyuarakan isu sama iaitu kehadiran anjing yang semakin banyak selain turut mengganggu ketenteraman dengan mengejar penduduk yang keluar pada awal waktu pagi atau senja.

Meskipun belum ada kejadian penduduk digigit haiwan jalanan itu, wakil KRT khuatir ia bakal berlaku dan lebih teruk jika menimpa kanak-kanak atau warga emas.

Masri berkata, pihaknya mengakui bukan mudah untuk mengendalikan isu anjing liar kerana ia membabitkan kos yang tinggi termasuk mengambil kira sensitiviti segelintir pihak.

Pada masa sama, katanya, banyak aduan diterima daripada masyarakat terutama di kawasan perumahan.

"Setiap aduan diterima kami akan ambil tindakan, namun, biasanya apabila operasi tangkapan anjing liar dibuat, anjing yang dimaksudkan tiada di tempat dinyatakan.

"Saya mahu minta kerjasama masyarakat supaya tidak memberi makan kepada anjing liar kerana ia boleh menjadi faktor haiwan itu berkeliaran dan membiak di tempat mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang merancang untuk membuka sebuah lagi tempat perlindungan anjing di daerah ini dan ia dalam proses mencari lokasi sesuai.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia bukan jalan penyelesaian sepenuhnya yang dapat mengatasi isu anjing liar yang membelenggu penduduk.

"Sampai bila kita mahu tangkap dan tempatkan anjing ini di tempat perlindungan. Jadi kami masih memikirkan langkah yang sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 7:00 AM