Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara dari Tanjung Malim - Slim River mulai pelahan berikutan berlaku pertambahan jumlah kenderaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), esok.

Pertambahan jumlah kenderaan turut berlaku di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara, dari Tanjung Malim hingga Tapah.

Ramai pengguna lebuh raya mula melencongkan kenderaan ke Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dengan menggunakan susur keluar dan masuk di Plaza Tol Tanjung Malim, Behrang dan Slim River bagi mengelak kesesakan di lebuh raya.

Kesesakan lebuh raya dipercayai berlaku di kawasan pertukaran lorong dari tiga lorong kepada dua lorong di Kilometer 367.4 Lebuhraya Plus arah utara iaitu selepas susur keluar Plaza Tol Slim River.

Keadaan ini menyebabkan pengguna akan melencong kenderaan menuju ke jalan persekutuan melalui susur keluar di Plaza Tol Tanjung Malim, Behrang dan Slim River.

Tinjauan mendapati susur keluar dan masuk di Plaza Tol Slim River mula sesak berikutan pemandu menggunakan susur keluar berkenaan bagi mengelak kesesakan yang dilaporkan berlaku di lebuh raya.

Pengguna biasanya akan melencongkan kembali kenderaan ke lebuh raya dengan menggunakan susur masuk dan keluar di Plaza Tol Sungkai, Bidor atau Tapah.

Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menggunakan susur keluar di Plaza Tol Slim River untuk mengelakkan kesesakan menuju ke Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menggunakan susur keluar di Plaza Tol Slim River untuk mengelakkan kesesakan menuju ke Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 8:38 AM