ANGGOTA RELA sudah memulakan tugas menjaga kawasan parkir dan keselamatan di kawasan hentian Rehat dan Rawat arah utara dan selatan Lebuh Raya Utara dan Selatan (PLUS). FOTO Ihsan RELA
ANGGOTA RELA sudah memulakan tugas menjaga kawasan parkir dan keselamatan di kawasan hentian Rehat dan Rawat arah utara dan selatan Lebuh Raya Utara dan Selatan (PLUS). FOTO Ihsan RELA
Rosman Shamsudin


ANGGOTA Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditempatkan di kawasan hentian dan rawat (R&R) bagi membantu mengawal kesesakan di kawasan itu sepanjang cuti sekolah dan perayaan Aidilfitri.

Bagi laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dalam daerah Mualllim, seramai 145 anggota RELA akan bertugas bermula semalam sehingga 10 Jun ini berikutan pertambahan jumlah pengguna lebuh raya dari kedua arah laluan terbabit sebelum dan selepas hari raya.

Pemangku Pegawai RELA Daerah Muallim, Yahya Md Noh berkata, pertambahan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya sudah tentu akan mengakibatkan kesesakan di kawasan R&R.

Menurutnya, selain di kawasan hentian lebuh raya, anggota RELA juga ditugaskan di semua susur keluar masuk plaza tol di daerah ini.

“Anggota RELA akan bertugas secara syif 24 jam untuk membantu pengguna lebuh raya yang berhenti di kawasan rehat untuk mengelakkan kesesakan terutama di kawasan parkir.

“Kita mohon pengguna lebuh raya memberi kerjasama dengan anggota RELA yang ditempatkan di kawasan hentian supaya lalu lintas berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi di Slim River, hari ini.

Yahya berkata untuk memastikan lalu lintas berjalan lancar maka pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi arahan kerana sikap segelintir pengguna yang pentingkan diri dan tidak mematuhi arahan dikenalpasti antara faktor menyebabkan berlaku kesesakan.

“Kekurangan tempat letak kenderaan juga mengundang kesesakan, maka pengguna lebuh raya perlu ikut arahan agar tidak berlaku kesulitan kepada pengguna lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 1:33 PM