PATI yang ditahan anggota ATM kerana menceroboh sempadan negara dekat Bukit Kayu Hitam. FOTO Ihsan ATM.
PATI yang ditahan anggota ATM kerana menceroboh sempadan negara dekat Bukit Kayu Hitam. FOTO Ihsan ATM.
Noorazura Abdul Rahman


Bukit Kayu Hitam: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang menceroboh negara melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand di sini, hari ini.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, kesemua Pati warga Myanmar itu ditahan di bawah Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd) pada 9 pagi.

"Pasukan melaksana rondaan telah mengesan pergerakan sekumpulan manusia yang mencurigakan di laluan Sungai Tangga dan mengekori mereka.

"Pati ditahan ketika bersembunyi di belukar dalam kebun getah di kawasan Kemajuan Tanah Bukit Tangga," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan lagi, semua Pati adalah lelaki berusia antara 19 hingga 51 tahun, tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

ATM merampas sembilan unit telefon bimbit, 13 kad pengenalan warga Myanmar, lima beg pakaian dan sejumlah mata wang Malaysia, Thailand dan Myanmar dianggarkan bernilai RM4,519.

"Pati kemudian dihantar ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 5:29 PM