LAPAN Pati warga Myanmar yang ditahan dalam Op Benteng di kawasan belukar di kebun getah, Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
LAPAN Pati warga Myanmar yang ditahan dalam Op Benteng di kawasan belukar di kebun getah, Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Cubaan lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar masuk ke negara ini menggunakan 'laluan tikus' di sempadan Malaysia-Thailand gagal selepas mereka ditahan pihak berkuasa, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan kejadian itu berlaku di sektor Op Benteng yang juga kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

"Bertindak atas maklumat perisikan, pasukan beroperasi mengesan pergerakan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan melalui sempadan negara, 11.30 pagi, semalam.

"Pasukan bertugas kemudian bertindak menahan seramai lapan lelaki yang bersembunyi di kawasan belukar di kebun getah, Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati semua individu berkenaan adalah warga Myanmar berusia antara 25 hingga 45 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Kami turut merampas empat telefon bimbit, sejumlah wang tunai dalam mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand, lima kad pengenalan warga Myanmar, tiga pasport warga Myanmar serta enam beg pakaian.

"Keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM2,503. Semua Pati yang ditahan diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya kemasukan Pati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 9:12 AM