PATI warga Myanmar yang ditahan di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Ihsan ATM
PATI warga Myanmar yang ditahan di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman

Bukit Kayu Hitam: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 38 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar di sempadan negara Malaysia-Thailand di sini, hari ini.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, kesemua Pati itu ditahan pada 5.45 pagi ketika merentasi sempadan di kawasan ladang getah yang dalam Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia

"Pasukan Serang dan Tangkap (Serkap) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang sedang berjalan dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kesemua mereka seramai 38 orang. Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Menurut kenyataan, warga Myanmar itu berusia antara 15 hingga 40 tahun, terdiri daripada 13 lelaki dan 25 perempuan.

Turut dirampas 23 telefon bimbit dan wang tunai mata wang Thailand dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM 10,498.

Pati itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 9:48 PM