Amir Mamat


Jasin: Hujan rahmat mengiringi pengebumian empat beranak yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Simpang Tiga, Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah, dekat sini, selamat dikebumikan 3.15 pagi tadi.

Jenazah Ibrahim Daud, 71, dan isterinya Latipah Dorahim, 66 dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, di sini, manakala jenazah menantu mereka, Syazana Tahrin, 30, dan cucu lelaki mereka, Yusuff Daniel Muhammad Izwan, 5, pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pondok Batang, di sini.

Terdahulu, keempat-empat jenazah dimandi dan dikafankan di Hospital Alor Gajah, sebelum disembahyangkan di Masjid An-Nur, Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, dengan diimamkan oleh Imam Satu masjid berkenaan, Saari Adun.

Dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi semalam, kenderaan yang dinaiki keluarga berkenaan terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah.

Pemandu kenderaan berkenaan yang juga suami Syazana, Muhamad Izwan Ibrahim, 30, tidak mengalami kecederaan, manakala seorang lagi anak mereka, Aniq Fahim, 3, dilaporkan kritikal dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Allahyarham Ibrahim dan isterinya, Latipah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh. FOTO Amir Mamat
Allahyarham Ibrahim dan isterinya, Latipah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh. FOTO Amir Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 10:49 AM