Asrol Awang


Kuantan: Jenazah tujuh beranak yang terbabit dalam kejadian fenomena kepala air di Jeram Air Putih di Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Lepar Hilir 3, di sini malam ini.

Jenazah suami isteri, Karim Abdullah, 39 dan Azizah Eiyi, 40 serta lima anaknya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar 11.52 malam.

Lima anak pasangan itu ialah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Sebanyak tujuh van jenazah bertolak dari Kuala Terengganu pada 6.30 petang diiringi kereta peronda polis.

Terdahulu, jenazah tujuh beranak tiba di Masjid Ubbudiah FELDA Lepar Hilir 3 dari Kuala Terengganu, Terengganu pada jam 10.02 malam.

Semua jenazah kemudiannya disembahyangkan di masjid berkenaan yang diimamkan oleh Ibrahim Mat Nor.

JENAZAH tujuh sekeluarga, mangsa tragedi fenomena kepala air Jeram Air Putih, Kemaman, dikebumikan di Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3. FOTO Farizul Hafiz Awang
JENAZAH tujuh sekeluarga, mangsa tragedi fenomena kepala air Jeram Air Putih, Kemaman, dikebumikan di Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3. FOTO Farizul Hafiz Awang

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Setakat ini, mayat seorang lagi anak pasangan, itu, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada jam 3 petang tadi.

Dua yang belum ditemui adalah Putri Nor Fatin, 14, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 12:43 AM