Gambar hiasan
Gambar hiasan
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Felda mempergiat Program Pembangunan Peneroka (PPP) bagi menyokong dasar sekuriti makanan negara dengan meningkatkan kadar sara diri.

Dalam kenyataan hari ini, Felda berkata, inisiatif itu juga dapat mengurangkan kebergantungan import makanan negara.

Menurutnya, program itu dilaksanakan sebagai satu kaedah mempelbagai dan meningkatkan pendapatan peneroka melalui aktiviti bukan berteraskan komoditi sawit dan getah.

"Sebanyak 8,543 PPP diluluskan untuk dijalankan secara individu dan juga melalui pembabitan koperasi serta badan peneroka.

"Projek ini memberi manfaat kepada 56,959 peneroka dan generasi baharu Felda," kata kenyataan itu.

Felda berkata, 57 peratus daripada PPP membabitkan penternakan ayam dan ruminan, manakala 41 peratus pertanian seperti tanaman cili dan timun secara fertigasi serta cendawan.

Katanya, tanah Felda yang luas berpotensi untuk menjadi hab lembu pedaging seperti dilaksanakan di Felda Sahabat, Sabah.

"Ternakan lembu secara integrasi ini akan membabitkan penggunaan tanah seluas 32,000 hektar.

"Bagi ternakan ruminan ini, Felda dijangka dapat menyumbang sebanyak 2.5 peratus daripada kadar sara diri kebangsaan," katanya.

Bagi membantu menyelesaikan isu kenaikan mendadak harga bekalan makanan ternakan, Felda merancang melaksanakan tanaman jagung bijian di tanah seluas 3,700 hektar dengan kerjasama FGV Holdings Berhad.

"Projek ini dijangka dapat menyumbang sebanyak lima peratus daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan import jagung bijian negara dan menstabilkan harga.

"Felda juga akan merancakkan industri ternakan ayam melalui kerjasama ladang kontrak dengan Ayamas Food Corporation Sdn Bhd berjumlah RM23 juta dan mensasarkan penghasilan 640,000 ekor ayam setiap pusingan di lapan unit reban dua tingkat," katanya.

Menurut kenyataan itu, projek yang dilaksanakan melalui Koperasi Permodalan Felda akan dijalankan di kawasan seluas 20 ekar di Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 10:42 PM