KHAIRY tiba bagi mendaftar sebagai Calon di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling. FOTO Hazreen Mohamad
KHAIRY tiba bagi mendaftar sebagai Calon di Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling. FOTO Hazreen Mohamad
Noor Atiqah Sulaiman


Image

Sungai Buloh: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan pembangkang bahawa satu undi untuk dirinya di kawasan berkenaan bersamaan satu undi untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri.

Khairy yang ditemui selepas pengumuman calon bagi kerusi P107 Sungai Buloh itu berkata, calon Perdana Menteri yang dipilih oleh BN adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Satu undi untuk KJ (Khairy Jamaluddin) adalah satu undi untuk KJ di Sungai Buloh. Naratif ini mesti diperjelaskan dan calon BN (bagi Perdana Menteri) adalah Datuk Seri Ismail Sabri.

"Dan saya akan mendukung Datuk Seri Ismail untuk menjadi Perdana Menteri seperti yang diumumkan oleh Zahid sebelum ini dan tiada lagi kekeliruan sekarang," katanya kepada pemberita di Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta supaya pengundi di Sungai Buloh tidak mengundi Khairy kerana dengan undian berkenaan membolehkan Zahid yang juga calon BN di Bagan Datuk menjadi Perdana Menteri.

Parlimen Sungai Buloh hari ini memperlihatkan pertembungan tujuh penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Selain Khairy, Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohd Jusni Hashim mengumumkan, calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di P107 itu adalah Datuk R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN) dan Mohd Akmal Yusoff (GTA).

Selain itu bagi calon PRM adalah Ahmad Jufliz Faiza serta dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff serta Nurhaslinda Basri (Sifulinda).

Parlimen berkenaan mempunyai 158,090 pengundi di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paya Jaras dan Kota Damansara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 12:31 PM