AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Fariz Iswadi Ismail.
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Pembangkang kini dilihat menjadikan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai sasaran dalam Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) untuk mengelirukan rakyat dengan menggunakan naratif 'satu undi untuk BN (Barisan Nasional), satu undi untuk Zahid'.

Calon BN di Parlimen Bagan Datuk itu dilihat sebagai 'sasaran mudah' kerana Ahmad Zahid kini sedang berdepan dengan beberapa kes mahkamah.

Malah, sasaran naratif bahawa Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri sekiranya BN menang itu kebanyakannya diberikan kepada calon yang berkemungkinan menang mudah di Parlimen tertentu.

Antara yang terpalit dengan naratif itu adalah calon BN di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, Putrajaya (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) serta Perdana Menteri yang juga calon BN di Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mereka menolak dakwaan bahawa Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri sebaliknya Ismail akan menjawat jawatan itu seperti diumumkan sebelum ini.

Malah sebelum ini Ahmad Zahid dengan tegasnya menafikan beliau akan menjadi Perdana Menteri dan menganggap ia adalah usaha pihak tertentu untuk memecah belahkan parti berkenaan.

Sementara itu bagi Ismail Sabri, kenyataan yang dikeluarkan itu bukanlah perkara baharu namun sudah kerap digunakan oleh parti pembangkang bagi meraih undi.

Bahkan isu itu dianggap sebagai satu perkara yang tidak berasas kerana keputusan sudah dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno dan diusulkan dalam Perhimpunan Agung Umno.

Khairy juga memaklumkan, naratif yang dimainkan oleh pembangkang itu perlu diperjelaskan dan beliau akan tetap menyokong Ismail untuk menjadi Perdana Menteri dan bukannya Ahmad Zahid seperti dimomokkan oleh pembangkang.

Tambah Khairy, selepas beliau menafikan naratif itu, pembangkang kini mula mengaitkan dirinya dengan isu lama semasa bekas ahli Parlimen Rembau itu menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Khairy berkata, isu kehilangan dana RM100 juta milik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) cuba dikitar semula pembangkang sedangkan pegawai terbabit kini sudah dihadapkan ke mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 4:57 PM