KHAIRY Jamaludin bersalaman bersama jemaah selepas selesai solat jumaat di di Masjid Jamek Sungai Plong. FOTO Hazreen Mohamad.
KHAIRY Jamaludin bersalaman bersama jemaah selepas selesai solat jumaat di di Masjid Jamek Sungai Plong. FOTO Hazreen Mohamad.
Sudirman Mohd Tahir


Sungai Buloh: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mengajak semua golongan muda khususnya di Sungai Buloh untuk keluar mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), esok.

Beliau berkata, terdapat banyak perancangan untuk golongan itu selaras dengan visi Kata Janji yang dibentangkan sebelum ini.

"Untuk pengundi muda khususnya di Sungai Buloh, laksanakan tanggungjawab anda untuk negara. Saya ada banyak usahakan untuk orang muda sejak saya menjadi Menteri Belia dan Sukan dulu.

"Malah, dalam PRU-15 ini banyak perancangan saya untuk orang muda di sini. Dan saya perlukan sokongan pengundi muda di Sungai Buloh untuk kita menjadikan Kata Janji saya satu realiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sungai Plong, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, memasuki hari terakhir berkempen, beliau mengharapkan sokongan daripada penduduk Sungai Buloh bagi membawa perubahan di kawasan itu.

"Pecutan terakhir ini memang masih pertandingan sengit. Sebab seperti mana kita tahu di sini kubu kuat Pakatan Harapan (PH). Saya memerlukan semua pengundi terutama yang menyokong diri ini dan visi saya untuk Sungai Buloh keluar mengundi esok.

"Kita tidak mahu nanti esok kita dapat undi banyak tapi tak cukup. Jadi amat penting untuk pengundi di sini dengan tidak menganggap bahawa pertandingan tidak sengit.

"Saya perlukan semua pengundi yang ingin memberikan sokongan pada saya untuk keluar awal pagi esok untuk kita 'kasi tukar' dan 'kasi jadi' di Sungai Buloh ini. Ini kehendak rakyat sekarang yang mahu melihat perubahan di Sungai Buloh," katanya.

Pada PRU-15 ini, Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Saingan sengit di kerusi parlimen itu membabitkan Khairy Jamaluddin daripada BN, R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634.

Untuk rekod, pada PRU-14 yang lalu, daftar pemilih untuk Parlimen ini adalah 90,707 dan jumlah itu bertambah menjadi 158,090 bagi PRU-15.

Daripada jumlah berkenaan, 9.25 peratus pemilih adalah golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 3:56 PM