Ahmad Hasbi

Rembau: "Banyak sangat (memori), 14 tahun menyingkap kembali memori indah terlalu banyak dan saya takkan tinggalkan Rembau, saya masih ahli di sini," luah penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan mengakui rindu dengan daerah itu, namun gembira kerana dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di sini, hari ini.

"Perasan rindu sikit, tapi rasa gembira dapat balik undi. Saya sayang Rembau dan Sungai Buloh. Insya-Allah saya boleh mula berkhidmat di Sungai Buloh (parlimen) lepas ini.

"Saya tinggalkan Rembau, saya masih ahli di sini. Jadi Insya-Allah jika dapat dipilih di Sungai Buloh masih boleh berkhidmat di sini juga," katanya kepada media sejurus selesai mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Agama (SMA) Haji Mohd Yatim, di sini, jam 9.30 pagi tadi.

Khairy adalah penyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum diletakkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ia bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen itu.

Khairy Jamaluddin tanpa berselindung, sambil menunjukkan jarinya yang sudah dicelup dakwat memaklumkan beliau mengundi untuk Mohamad.

"Saya sudah undi untuk Tokmat tadi. Kena bagi tahu. Saya tiada pilihan lain, beliau memang calon pilihan saya dan saya harap dia menang bergaya kali ini," katanya.

Pada PRU-15 menyaksikan Parlimen Rembau ditandingi empat calon iaitu Mohd Nazree Mohd Yunus (PN-Bersatu), Mohamad (BN-Umno), Jufitri Joha (PH-PKR) dan Ramly Awaluddin (Pejuang).

Parlimen Sungai Buloh pula menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Saingan sengit di kerusi parlimen itu membabitkan Khairy daripada BN, R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (PN), Mohd Akmal Yusoff (GTA), Ahmad Jufliz Faiza (PRM) dan dua calon Bebas masing-masing, Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff, 62, serta Nurhaslinda Basri, 33.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Sungai Buloh dimenangi R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 26,634.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 10:28 AM
KHAIRY berkesempatan melayan pengundi bergambar ketika beratur menunggu giliran mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Menengah Agama Hj. Mohd Yatim, Ulu Gedong.
KHAIRY berkesempatan melayan pengundi bergambar ketika beratur menunggu giliran mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Menengah Agama Hj. Mohd Yatim, Ulu Gedong.