Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 31,183 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap-siaga bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam ketika penamaan calon esok.

Pengarah Op Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, mereka juga akan menggerakkan aset dron bagi menjalankan pemantauan.

"Semua pihak yang terbabit diseru supaya memberi kerjasama dalam mematuhi undang-undang dan mengelak daripada melakukan sebarang provokasi.

"PDRM juga menyediakan 31,183 petugas beruniform dan tidak beruniform sepanjang tempoh penamaan calon berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penamaan calon bagi PRU-15 akan berlangsung esok di seluruh negara membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).

Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon antaranya terdiri daripada pejabat daerah, dewan orang ramai dan dewan sekolah di seluruh negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 1:51 PM