ABDUL Ghani (tiga kanan) menyampaikan writ dan watikah pelantikan pegawai pengurus pilihan raya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ABDUL Ghani (tiga kanan) menyampaikan writ dan watikah pelantikan pegawai pengurus pilihan raya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki dan Suzalina Halid


Putrajaya: Kos pengurusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N66 Bugaya di Sabah dianggarkan memerlukan peruntukan sejumlah RM1.01 bilion.

Ia peningkatan kira-kira RM500 juta berbanding kos Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata, seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU-15 dan PRK Dun N66 Bugaya, manakala, sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi atau saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 970 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 9,536 pusat mengundi akan beroperasi membabitkan 39,318 tempat mengundi atau saluran.

"PRU-15 dan PRK Dun N66 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion," katanya dalam kenyataan media selepas sidang media di Menara SPR, semalam.

Abdul Ghani berkata, SPR juga melantik 222 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 1,264 Penolong Pegawai Pengurus manakala sebanyak 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) turut ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, bermula 5 November hingga 11.59 malam 18 November ini.

Beliau berkata, PP-KPR turut dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

"Sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 222 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan. Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menasihati bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU-15 dan PRK Dun N66 agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon.

"Selain itu, bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Ghani mengingatkan pihak terbabit bahawa Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus perlu dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya pada hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon yang ditetapkan oleh SPR.

Katanya, SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi siaran langsung penstriman (live streaming) bagi Pusat atau Saluran Mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 4:14 PM