TEMPOH mengemukakan kertas penamaan calon bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon antaranya  pejabat daerah, dewan orang ramai dan dewan sekolah di seluruh negara. FOTO BERNAMA
TEMPOH mengemukakan kertas penamaan calon bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon antaranya pejabat daerah, dewan orang ramai dan dewan sekolah di seluruh negara. FOTO BERNAMA
BERNAMA
Image

Kuala Lumpur: Penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan berlangsung hari ini di seluruh negara melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).

Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bugaya, Sabah.

Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon antaranya pejabat daerah, dewan orang ramai dan dewan sekolah di seluruh negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon bertanding berakhir jam 11.59 malam, 18 November.

Sebelum penggal Parlimen ke-14 dibubar 10 Oktober lepas, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dengan 90 kerusi, Barisan Nasional (43), Bersatu (28), Gabungan Parti Sarawak (19), Pas (17), Warisan (tujuh), Parti Bangsa Malaysia (enam), Parti Pejuang Tanah Air (empat), Bebas (tiga) dan masing-masing satu kerusi bagi parti Muda, Parti Sarawak Bersatu dan Star.

Dua kerusi kosong selepas kematian penyandangnya iaitu Datuk Hasbullah Osman dari BN bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Di peringkat Dun, hanya Pahang, Perak dan Perlis melaksana Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing serentak dengan peringkat Parlimen selepas ketiga-tiga negeri membubarkan Dun masing-masing.

Negeri-negeri diterajui PH iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta diterajui Pas iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak bubarkan Dun.

Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini sudah mengadakan PRN. PRN Sabah pada 26 September 2020, Melaka (20 November 2021), Sarawak (18 Disember 2021) dan Johor (12 Mac 2022).

PRK Dun Bugaya pula diadakan bersekali dengan PRU-15 berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Pada 7 Oktober lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan enam ordinan dan proklamasi darurat bagi menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi, Gerik dan Dun Bugaya yang diisytihar pada November dan Disember 2020, berkuat kuasa 6 Oktober lepas.

Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos 2022 dikemas kini sehingga 9 Oktober akan digunakan untuk PRU-15. Ia mengandungi 21,173,638 pemilih terdiri daripada 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pada PRU-14, SPR menerima 2,333 kertas pencalonan dalam sejam penamaan calon dengan 687 daripadanya kertas pencalonan bagi 222 kerusi Parlimen dan 1,646 bagi 505 kerusi Dun.

Parti paling banyak menghantar borang pencalonan untuk kerusi Parlimen ketika itu ialah BN dengan 222, diikuti PKR (191) dan Pas (158). Parti lain menghantar kurang daripada 30 pencalonan.

Apa yang pasti, penamaan calon PRU-15 hari ini ditunggu-tunggu berikutan kemunculan gabungan politik baharu yang berkemungkinan besar menyebabkan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya tiga hingga empat penjuru di kebanyakan kerusi Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 7:05 AM