PETUGAS SPR melakukan persiapan di pusat penamaan calon P.125 Putrajaya menjelang penamaan calon bagi PRU-15
PETUGAS SPR melakukan persiapan di pusat penamaan calon P.125 Putrajaya menjelang penamaan calon bagi PRU-15
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini giat melakukan persiapan di pusat penamaan calon di seluruh negara termasuk simulasi bagi memastikan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok berjalan lancar.

Di PUTRAJAYA, tinjauan Bernama di ibu pejabat SPR mendapati ruangan disediakan untuk kegunaan petugas media termasuk beberapa skrin yang memaparkan nama calon bertanding dari seluruh negara selepas diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bahagian masing-masing.

Turut disediakan maklumat penting mengenai PRU15 untuk rujukan pihak media serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya di Sabah.

Sementara itu, tinjauan persiapan bagi proses penamaan calon Parlimen Putrajaya untuk PRU15 di Dewan Serbaguna Kompleks Kejiranan Presint 9 berjalan lancar dan petugas pilihan raya sedang giat melaksanakan kerja-kerja akhir di lokasi itu selain mengadakan simulasi proses penamaan calon.

Di KEDAH, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Alor Setar Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata persiapan di pusat penamaan calon bagi kawasan itu di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah kini berada pada tahap 100 peratus termasuk simulasi membabitkan pengisian serta semakan borang oleh setiap calon.

"Simulasi ini juga bagi memastikan tidak berlaku sebarang kelewatan dalam tempoh pencalonan yang hanya satu jam kerana kita tidak mahu dalam tempoh itu jadi sesak dan kelam-kabut," katanya kepada Bernama.

Di JOHOR, simulasi penamaan calon untuk Parlimen Parit Sulong di Dewan Seri Mahkota, MRSM Batu Pahat, Batu Pahat berjalan lancar tepat pada 9 pagi dengan proses itu diketuai oleh Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan itu Ezahar Abu Sairin.

Tinjauan Bernama menyaksikan proses simulasi itu melibatkan pertandingan empat penjuru membabitkan tiga calon parti utama yang bertanding dan seorang calon bebas.

Di NEGERI SEMBILAN, Pegawai Pengurus Parlimen Rembau Mohamad Najib Mustafa berkata SPR telah melakukan pelbagai persiapan termasuk simulasi yang dijalankan pagi tadi bagi melancarkan proses penamaan calon esok.

Tinjauan Bernama di Dewan Seri Rembau mendapati segala persiapan termasuk kerusi dan meja bagi kegunaan urusan penamaan calon tersusun rapi dengan pelbagai notis ditampal di setiap sudut dewan untuk perhatian orang ramai dan penyokong parti politik.

Di bahagian luar dewan pula turut disediakan beberapa khemah dan kerusi bagi kegunaan orang ramai dan wakil parti politik yang hadir untuk melihat proses penamaan calon esok.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di Pusat Penamaan Calon Parlimen Sungai Buloh mendapati petugas SPR melakukan persiapan akhir di Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling dan semuanya berjalan lancar.

Di PERAK, persiapan di Institut Latihan Perindustrian Ipoh sebagai Pusat Penamaan Calon Parlimen Tambun berjalan lancar terutama yang berkaitan gerak kerja, kemudahan dan soal keselamatan.

Terdapat kerusi meja disediakan bagi memudahkan calon mengisi dan menghantar borang pencalonan beserta dokumen yang diperlukan.

Situasi sama turut kelihatan di Stadium Indera Mulia bagi proses penamaan calon Parlimen Ipoh Barat dan Arena Badminton Stadium Indera Mulia bagi Parlimen Ipoh Timur esok malah ditampal notis serta amaran di pintu masuk untuk perhatian semua orang awam termasuk petugas media.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata Polis Diraja Malaysia menugaskan lebih 94,000 pegawai dan anggota sepanjang PRU15.

Bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, beberapa laluan berhampiran pusat penamaan calon akan ditutup dan dilencongkan bermula 6 pagi esok antaranya di Ampang, Kuala Lumpur membabitkan laluan bermula dari persimpangan lampu isyarat Bandar Baru Ampang hingga ke susur keluar Jalan Merdeka manakala Jalan Chengal ditutup sepenuhnya.

Di Putrajaya, beberapa jalan di Presint 9 akan ditutup secara berperingkat bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari termasuk Jalan Presint 9C bermula lampu isyarat Petronas 9D hingga lampu isyarat Jalan P9C/1 (Fasa 8) dan Jalan Presint P9A bermula dari Petronas P9A hingga Jalan Presint P9C.

Pada 20 Oktober lalu, SPR menetapkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15 manakala penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

Pelaksanaan PRU15 membabitkan 222 kerusi Parlimen di seluruh negara serta negeri yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing iaitu Perak (59 kerusi DUN), Pahang (42) dan Perlis (15).

Turut diadakan serentak ialah PRK DUN Bugaya, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 7:42 PM