Kamarul Zaman ketika mengadakan lawatan dan pemeriksaan di Pusat Penamaan Calon P150 Batu Pahat di Dewan Jubli Intan, dekat sini, hari ini. Foto Essa Abu Yamin
Kamarul Zaman ketika mengadakan lawatan dan pemeriksaan di Pusat Penamaan Calon P150 Batu Pahat di Dewan Jubli Intan, dekat sini, hari ini. Foto Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Polis Johor mewujudkan pasukan khas untuk memastikan tidak ada elemen gengsterisme mengganggu sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga akan memastikan tidak ada unsur perjudian yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan membeli undi bagi menentukan kemenangan terhadap calon-calon yang bertanding.

Katanya, sehubungan itu seramai 8,600 pegawai dan anggota polis Johor ditugaskan sepanjang tempoh pilihan raya umum itu.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 3,800 pegawai dan anggota ditugaskan di 26 pusat penamaan calon pada 5 November ini di seluruh Johor.

"Pihak-pihak berkenaan seperti parti politik dinasihatkan untuk mematuhi apa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Semua pihak diminta untuk saling bertoleransi supaya perjalanan proses pilihan raya nanti berjalan lancar, aman dan tidak ada sebarang gangguan," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan Pusat Penamaan Calon P150 Batu Pahat di Dewan Jubli Intan di sini, hari ini.

Menurut Kamarul, bagi pengundian awal Johor mempunyai sebanyak 63 pusat mengundi awal dan 96 saluran, manakala pada hari mengundi pula sebanyak 1,024 pusat pengundi terdiri daripada 4,685 saluran.

"Berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, sebanyak lapan lokasi panas dikesan di seluruh Johor dan pihak polis akan turut menumpukan lokasi berkenaan," katanya.

#kw polis, Johor, PRU15, anggota, tugas, SPR, penamaan calon, batu Pahat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 4:39 PM