WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
WAN Junaidi. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pengundi berdaftar di Sarawak yang layak menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bulan depan berjumlah 1,943,074 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 59.14 peratus berbanding 1,220,960 pemilih yang direkodkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 825,791 orang adalah pengundi berumur 21 hingga 39 tahun yang menjadi kategori paling ramai manakala jumlah pengundi berumur 18 hingga 20 tahun adalah 129,034 orang.

Menurutnya, Daftar Pemilih Sarawak yang terkini itu merekodkan seramai 975,618 bersamaan 50.21 peratus adalah pengundi lelaki dan 967,456 (49.79 peratus) pengundi wanita.

"Daripada keseluruhan pengundi, 25,799 orang adalah pemilih orang kelainan upaya (OKU) iaitu 25,782 OKU pemilih biasa, tujuh OKU tentera dan pasangan serta 10 OKU polis dan pasangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi yang juga penyandang Parlimen Santubong berkata, seramai 38,148 petugas akan bertugas untuk PRU15 membabitkan 1,943 pusat mengundi termasuk 55 pusat mengundi awal dengan 4,286 jumlah saluran.

"Sebanyak 1,943 pusat pengundi telah diwartakan membabitkan sekolah, rumah panjang dan beberapa premis lain yang dikenal pasti.

"Daripada jumlah itu, 74 pusat pengundi yang terletak di kawasan pedalaman, tidak mempunyai akses telekomunikasi," katanya.

Bagi mengatasi masalah di74 pusat mengundi itu katanya, SPR mendapat kerjasama syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memastikan semua pusat mengundi itu mendapat liputan perhubungan dan komunikasi tidak terjejas.

"Kerjasama dengan SKMM turut diwujudkan bagi memastikan semua pusat penamaan calon memiliki liputan komunikasi bagi memastikan hari penamaan calon pada 5 November ini berjalan lancar," katanya.

Selain itu katanya, SPR juga mendapat kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung rekod percukaian dan status kebankrapan calon yang akan bertanding.

"SPR mendapat kerjasama Jabatan Peguam Negara semasa hari penamaan calon untuk memberi nasihat undang-undang kepada Pegawai Pengurus pilihan raya sekiranya berlaku kekeliruan dan masalah berkaitan undang-undang," katanya.

Menurutnya lagi, bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya kali ini, SPR

Sarawak bersedia dengan pelbagai persediaan melibatkan logistik udara, air dan darat.

"Malah, jika berlaku banjir ketika pilihan raya berlangsung, SPR Sarawak juga sudah merancang pelbagai kaedah bagi melancarkan perjalanan proses demokrasi dengan kerjasama bersama semua agensi keselamatan.

"Saya berpuas hati selepas mendengar taklimat oleh Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan semalam berhubung persediaan mereka untuk menghadapi PRU15 di Sarawak khususnya hari penamaan calon pada 5 November dan hari pengundian pada 19 November depan.

"Saya juga menyeru agar semua calon, pengundi dan pekerja-pekerja parti sentiasa bekerjasama dengan SPR dengan tidak melanggar undang-undang serta peraturan-peraturan pilihan raya bagimembantu melicinkan perjalanan pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 3:46 PM