ABDUL Ghani. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
ABDUL Ghani. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai, ditunda kepada 7 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, penamaan calon bagi PRU kerusi terbabit ditetapkan pada 24 November ini, sementara pengundian awal pada 3 Disember depan.

"Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November 2022 (Khamis) sehingga jam 11.59 malam, 6 Disember 2022 (Selasa).

"Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka daripada 18 November 2022 (Jumaat) dan ditutup pada 22 November 2022 (Selasa)," katanya kenyataan hari ini.

Abdul Ghani berkata, bagi menjalankan proses PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai, SPR melantik Datuk Abdul Bari Abdullah, Pegawai Daerah Kulim sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan dibantu oleh enam orang Penolong Pegawai Pengurus.

"Manakala bagi tujuan pemantauan aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

"Bagi maksud PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai, Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU)," katanya.

Beliau berkata, calon-calon layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

"Manakala, bakal-bakal calon baharu yang ingin bertanding dalam PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai, hendaklah menyerahkan Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon yang ditetapkan oleh SPR.

"SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi siaran langsung bagi Pusat/Saluran Mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini," katanya.

Katanya, seramai 2,468 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai.

"Manakala, sebanyak 46 pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi/saluran dan satu pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi dua tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 47 dengan 232 tempat mengundi/saluran," katanya.

Tambahannya, PRU Ke-15 Bahagian Pilihan RayaParlimen P.017 Padang Serai ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 4:44 PM