Noorazura Abdul Rahman


Sik: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itu perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan dugaan hidup ditempuh seorang ibu kepada tiga orang anak selepas suaminya koma sejak September lalu.

Siti Hamidah Abdullah, 27, yang kini sarat hamil tujuh bulan hanya mengharapkan ihsan saudara mara untuk kelangsungan hidup selepas suaminya, Muhammad Hisham Ammrirul Rahim, 24, koma akibat jangkitan di beberapa bahagian organ badan termasuk otak.

"Pada mulanya, suami kerap muntah sehingga tidak mampu makan sebelum saya membawanya ke hospital pada 19 September lalu dan dimasukkan ke wad. Dia kemudiannya ditidurkan sebelum disahkan koma selepas jantung, paru-paru dan otak dijangkiti kuman.

"Suami dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani selama sebulan sebelum dipindahkan ke Hospital Sik minggu lalu. Keadaannya masih sama.

"Saya berulang-alik ke hospital menjaga suami pada waktu tengah hari dan petang selain perlu menghantar anak ke sekolah dan Tadika," katanya yang tinggal di Kampung Charuk Damar di sini.

Menurut Siti Hamidah, selepas suaminya koma, dia terpaksa keluar dari rumah sewa di Kampung Banggol Selayang di sini, kerana tidak mampu membayar sewa RM220 sebulan selain tiada orang yang akan menjaga anak-anaknya berusia dua, enam dan lapan tahun.

Katanya, dia hilang sumber pendapatan kerana sebelum ini, suaminya bekerja sebagai pembantu di kedai makan milik ibu mentuanya di pekan Sik.

Siti Hamidah bersama dua orang anaknya sedang melihat gambar suaminya, Muhammad Hisham yang koma akibat jangkitan kuman di  bahagian paru-paru, jantung dan otak. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Siti Hamidah bersama dua orang anaknya sedang melihat gambar suaminya, Muhammad Hisham yang koma akibat jangkitan kuman di bahagian paru-paru, jantung dan otak. FOTO Noorazura Abdul Rahman

"Selepas seminggu suami koma, ibunya meninggal dunia pada 29 September lalu. Kedai makan itu terpaksa ditutup, namun oleh kerana saya tiada sumber pendapatan, saya buka kedai makan itu selama seminggu sebelum saya berhenti kerana terlalu penat dengan keadaan saya yang sarat mengandung.

"Banyak yang saya perlu uruskan termasuk membeli barangan untuk memasak, saya tidak mampu mengupah ramai pekerja, jadi saya buat keputusan untuk tidak berniaga," katanya.

Menurutnya, ketika ini, kakak iparnya selain saudara mara dan rakan-rakan banyak membantu.

"Mereka banyak tolong saya daripada segi kewangan selain membeli makanan untuk anak-anak dan lampin pakai buang suami.

"Saya juga perlu beli susu khas suami yang berharga RM97 setin setiap tiga hari," katanya yang dijangka bersalin pada 13 Januari depan.

Siti Hamidah berkata, dia kini tinggal bersama ibunya, Siti Rohani Saman, 69, yang buta sebelah mata dan berharap kepada wang bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, doktor memaklumkan suaminya sudah tidak mempunyai harapan dan akan dibenarkan pulang pada bulan depan.

"Apabila saya cerita apa-apa kepada suami, air matanya akan mengalir. Sehingga kini, saya belum beritahu yang ibunya sudah meninggal dunia, saya bimbang keadaannya akan bertambah teruk jika saya beritahu hal itu.

"Ketika ini, saya sedang membuat permohonan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sumbangan katil dan tilam khas selain mesin oksigen dan sedut kahak.

"Saya juga perlu buat persediaan kewangan untuk membeli pelbagai jenis tiub dan susu khas suami," katanya.

Pihak yang ingin membantu Hamidah boleh menghubunginya di talian 013-5484548.

Menurutnya, dia juga ada memohon bantuan JKM serta pusat zakat untuk keperluan suami dan berdoa supaya ia diluluskan.

"Walaupun doktor kata suami sudah tiada harapan namun saya percaya kepada qada dan qadar. Saya tetap berdoa kepada Allah SWT supaya suami sembuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 1:48 PM