AMEER meninggal dunia di PPUKM.
AMEER meninggal dunia di PPUKM.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemain perkusi profesional yang juga pemuzik Orkestra RTM, Ameer Firza Wahid, 45, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat komplikasi buah pinggang, malam tadi.

Isterinya, Nur Azreen Arifin, 33, berkata, suaminya yang turut dikenali dengan panggilan Amirpija Wahid dimasukkan ke PPUKM kerana masalah batuk yang serius.

"Arwah sudah 10 tahun menjalani dialisis akibat masalah buah pinggang. Selain itu dia juga ada masalah jantung dan darah tinggi. Dia dimasukkan ke wad baru-baru ini akibat batuk yang terlalu teruk sehingga hampir pitam dan terpaksa berpaut di dinding untuk berjalan.

"Doktor mendapati punca batuk kerana paru-paru dan jantungnya dijangkiti kuman. Itu yang membuatkan dia jadi pening. Kuman terlalu kuat dalam badan dan menyerang bahagian organ," katanya kepada Harian Metro.

Nur Azreen yang mendirikan rumah tangga dengan Amir pada 2015 berkata, suaminya sangat disiplin mengambil ubat serta berpantang makan.

"Walaupun ada masalah jantung, pembedahan tak dapat dilakukan kerana tubuhnya lemah. Jadi, dia hanya bertahan dan lama-kelamaan kuman menyerang organ.

"Doktor memaklumkan punca kematiannya akibat kegagalan organ berfungsi. Buah pinggangnya juga gagal berfungsi dengan baik. Saya terima ketentuan Allah, cuma terkejut kerana sebelum koma, dia berbual dengan saya seperti biasa. Dia juga suruh saya buka semua wayar dan tiub di badannya tapi saya tak bolehlah nak buat," katanya.

Selain bekerja secara kontrak dengan RTM, Amir sering terbabit mengiringi persembahan penyanyi terkenal tanah air.

Allahyarham juga pernah terbabit sebagai pemuzik undangan di China untuk konsert jelajah penyanyi negara bersama Jenny Chin, Mac Chew dan pemain gitar Allahyarham Aji.

Amir meninggalkan seorang balu dan anak lelaki, Ameer Khiyar, 5. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam, tengah hari, hari ini.

Berita kematian Amir turut dikongsi ramai penggiat seni di Facebook antaranya Pengarah Orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail dan Mac Chew sejak tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 2:44 PM