SHAMSILA memangku Mohamad Nabib di HUSM Kubang Kerian, semalam.
SHAMSILA memangku Mohamad Nabib di HUSM Kubang Kerian, semalam.
myMetro

Kota Bharu: Usianya tujuh tahun, namun akibat jangkitan kuman di paru-paru ketika berumur dua bulan, kanak-kanak ini kelihatan seperti bayi kerana beratnya hanya 5.6 kilogram (kg) dan memerlukan penjagaan rapi 24 jam.

Mohamad Nabib Haikal Nur Azli, anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan, Shamsila Muhamad, 44, dan Nur Azli Mohd Arshad, 48, dilahirkan sempurna dengan dengan berat 4.6 kg sebelum paru-paru dijangkiti kuman menyebabkan pertumbuhan terbantut dan tubuh menjadi kaku.

Sejak tujuh tahun lalu, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menjadi rumah utama dan hanya pulang ke kediaman tiga bulan sekali.

Shamsila berkata, anaknya itu seperti bayi tiga bulan dan perlu penjagaan rapi apabila perlu disedut kahak setiap 10 minit sekali dan minum susu khas dimasukkan dengan wayar melalui hidung.

Katanya, anaknya disahkan menghidap jangkitan paru-paru ketika usia dua bulan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana koma setahun dua bulan.

“Bermula detik itu, kami menghabiskan masa di hospital dan hanya pulang ke rumah di Kampung Panchor, Gunong, Bachok dua hari saja dalam tempoh tiga bulan kerana anak saya perlu tinggal di tempat berhawa dingin.

“Tiga bulan sekali, saya membawa anak pulang kerana perlu melihat keadaan rumah dihuni suami dan empat anak lain berusia di antara 12 hingga 22 tahun.

“Jika saya berada di hospital, suami menjaga anak yang masih bersekolah termasuk memasak,” katanya ketika ditemui di Wad 6 Selatan, HUSM, di sini, semalam.

Dia bekerja sebagai kerani di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sejak 10 tahun lalu dan suaminya sebagai pemandu bas ekspres berhenti kerja demi menjaga anak mereka.

“Suami saya bekerja kampung dan kami hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

“Kami perlu menyediakan keperluan anak bongsu termasuk susu khas, wayar membuang kahak dan lampin pakai buang berjumlah lebih RM1,000 sebulan.

“Saya bersyukur kerana hospital memberi bantuan, namun kadang-kala saya perlu mengeluarkan duit sendiri demi kesihatan anak,” katanya.

Shamsila berharap dapat pulang ke rumah kerana sudah lama berada di hospital, namun kekangan kewangan membeli mesin sedut kahak, membina bilik khas berhawa dingin kepada anaknya itu menyebabkan niatnya terbantut.

Katanya, dia memerlukan wang RM15,000 untuk menyediakan keperluan anak bongsunya dan berharap ada pihak prihatin memberi sumbangan.

Sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 0129573007.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 8:51 AM