KUTTY (tengah), Sivarajan (kiri), Vijayakumar (dua dari kanan) dan Mohanah (kanan) menyampaikan barangan keperluan Deepavali kepada Muniandy, seorang pencuci pinggan di sebuah restoran di Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
KUTTY (tengah), Sivarajan (kiri), Vijayakumar (dua dari kanan) dan Mohanah (kanan) menyampaikan barangan keperluan Deepavali kepada Muniandy, seorang pencuci pinggan di sebuah restoran di Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


Hulu Bernam: Walaupun saban hari sibuk dengan tugas sebagai pendidik, namun empat sahabat tidak pernah melupakan tanggungjawab kepada masyarakat terutama dalam membantu golongan yang memerlukan sejak lapan tahun yang lalu.

Melalui Skuad Sukarelawan Cikgu (SSC), empat orang sahabat yang mengajar di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) membuat tabung khas bagi memastikan kerja sukarelawan berjalan lancar.

Mereka terdiri, guru SJKT Ladang Kalumpang, I Kutty Krishnan, 50, SJKT Ladang Lima Blas, J Sivarajan, 35, SJKT Escot, J Mohanah dan SJKT Ladang Sungai Choh, M Vijayakumar, 36.

Pengerusinya, I Kutty Krishnan berkata, dana tabung khas yang diwujudkan hasil daripada sumbangan mereka berempat setiap bulan.

Katanya, setiap bulan dia dan rakan akan menyumbang RM50 daripada wang gaji yang diterima sebagai guru kepada bendahari yang dilantik dalam kalangan kami.

"Wang yang terkumpul akan digunakan untuk membeli barangan keperluan sebelum disumbangkan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.

"Biasanya, kami akan membuat sumbangan menjelang musim perayaan termasuk sambutan Aidilfitri dan Deepavali dan setiap keluarga kurang mampu akan menerima barangan keperluan bernilai RM200," katanya ketika ditemui ketika menyampaikan sumbangan kepada 10 buah keluarga menjelang sambutan Deepavali.

Sumbangan daripada SSC membabitkan golongan kurang mampu yang tinggal di kawasan Hulu Bernam dan Daerah Muallim.

Terlebih dahulu, SSC akan mengenal pasti keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), murid-murid dan orang ramai di kawasan terbabit.

Timbalan Pengerusi SSC, J Sivarajan pula berkata, meskipun sumbangan yang mereka lakukan tidak seberapa namun mereka berempat gembira kerana dapat menjadi salah seorang penyumbang kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, tanggungjawab guru bukan semata-mata mendidik dan mengajar murid di sekolah sahaja serta sebagai anggota masyarakat guru juga perlu prihatin dan peka dengan masyarakat persekitaran.

Tukang cuci pinggan di sebuah restoran dekat Slim River, P Muniandy, 53, yang tular di media sosial bulan lalu selepas gaji hariannya sebanyak RM45 sehari hanya tinggal RM5 setiap hari selepas gaji terbabit dibahagikan kepada isterinya, A Saraswathy, 57, dan cucunya turut menerima sumbangan daripada SSC.

Muniandy berkata, dia terkejut rumahnya dikunjungi SSC dan terpilih menerima sumbangan barangan keperluan menjelang sambutan Deepavali.

Katanya, sumbangan berkenaan sudah tentu dapat mengurangkan beban dia sekeluarga terutama dalam membuat persediaan sambutan Deepavali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 7:30 AM